Pengasas Rangkaian Tanah Aina Resorts & Restaurants yang juga Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Prof. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas tiga tuduhan menceroboh tanah Kerajaan Negeri Pahang.

PRESIDEN PEKA DIDAKWA CEROBOH TANAH KERAJAAN PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (praktikal)

RAUB, 15 MAC 2022 : Pengasas Rangkaian Tanah Aina Resorts & Restaurants yang juga Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Prof. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas tiga tuduhan menceroboh tanah Kerajaan Negeri Pahang.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, pada 11 Jun 2021 lebih kurang jam 2 petang, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 26148, GM4135 Mukim Bentong iaitu kawasan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Daerah Bentong.

Bagi, pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong iaitu kawasan Tanah Aina Fahad Glamping Resort di Raub, Pahang pada pukul 2 petang, 10 Jun 2021.

Pengasas Rangkaian Tanah Aina Resorts & Restaurants yang juga Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Prof. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas tiga tuduhan menceroboh tanah Kerajaan Negeri Pahang.

Manakala bagi pertuduhan ketiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah kerajaan di Lot 10061, GM1572 Mukim Tras iaitu kawasan yang ketika ini didiami Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort di Raub, Pahang.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki, atau membina apa-apa bangunan di atas tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili barisan lima peguambela diketuai Encik Mohd Harris Mohan mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Hakim Ahmad Faizadh kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan pengurusan kes ditetapkan pada 25 April depan.

Pegawai Pendakwa Raya Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang, Encik Izzat Ikhwan Abu Bakar.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Raya Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang, Encik Izzat Ikhwan Abu Bakar berkata, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen-dokumen pending trial untuk menanti kepada perbicaraan.

“Mahkamah juga telah memberi satu perintah kepada OKT (Orang Kena Tuduh) untuk tidak buat sebarang kenyataan kepada media atau mana-mana media sosial berkenaan kes ini sehingga satu permohonan rasmi gag order daripada pihak pendakwaan di masukkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download