Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Tawar, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah pada sidang media Program Corporate Social Responsibility (CSR) Kerajaan Negeri Pahang Dengan Kerjasama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Bersama-sama Penduduk Felda Sungai Retang di Balairaya Felda Sungai Retang hari ini.

10 PROJEK PERUMAHAN GENERASI BAHARU FELDA DIJANGKA SELESAI DALAM TIGA TAHUN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi & Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan

JERANTUT, 14 MAC 2022 : 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di negeri ini dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Tawar, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata kesemua projek ini telah diserahkan kepada Kerajaan Pahang oleh Felda secara rasmi.

“Di seluruh Pahang ada sepuluh tapak projek perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai 12 tahun, 20 tahun dan tidak mampu lagi diteruskan oleh Felda.

“Dua minggu lepas, Felda telah serahkan secara rasmi projek ini kepada Kerajaan Negeri untuk kita (Kerajaan Negeri) lantik kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek ini dalam masa tiga tahun hingga empat tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan dan menyampaikan bantuan kepada pelajar dalam Program Corporate Social Responsibility (CSR) Kerajaan Negeri Pahang Dengan Kerjasama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Bersama-sama Penduduk Felda Sungai Retang di Balairaya Felda Sungai Retang hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari, dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.

Beliau berkata setakat ini lima projek telah dikenalpasti berada dalam kategori boleh dilaksanakan manakala lima projek lagi dalam proses perundangan.

“Bagi projek dalam proses perundangan, Felda perlu selesaikan dulu kerja-kerja dia dengan kontraktor lama, tuntutan kontraktor lama, konsultan, tuntutan mahkamah dan yang dimaklumkan Felda perlu menjelaskan lebih kurang RM20juta bagi lima tapak perumahan tersebut.

“Setelah selesai semua ini, barulah boleh diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk kita lantik kontraktor untuk siapkan.

“Lima tapak projek yang boleh dilaksanakan antaranya ialah di Felda Bukit Tajau, Felda Jengka 12, Felda Jengka 1, dan Felda Sungai Retang,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang tidak mengeluarkan peruntukan namun bertindak sebagai pemangkin bagi menyelesaikan projek perumahan tersebut.

“Projek ini tidak libatkan satu sen duit Kerajaan Negeri dan Felda di mana kontraktor penyelamat berurusan dengan MOF, mereka dah dapat kelulusan kepada pelan yang diiktiraf MOF dan menggunakan duit bank untuk laksanakan projek tersebut.

“Dan melalui duit tersebut jugalah yang akan diberi pinjaman kepada pembeli-pembeli perumahan tersebut pada masa akan datang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download