Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 13 MAC 2022 : Kerajaan Pahang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Tourism Pahang melancarkan Green Hour: Kuantan Car Free hari ini sebagai langkah memulihara alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata program ini merupakan inisiatif baharu Kerajaan Pahang untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri rendah karbon.

“Pahang merupakan penyumbang penting kepada oksigen kerana kita mempunyai 57 peratus kawasan hutan simpan daripada keseluruhan negeri ini.
“Dan hari ini kita buat inisiatif baharu selama tiga empat jam, di mana tiada kereta, kenderaan dibenarkan memasuki Jalan Mahkota dan Jalan Besar.
“Ini bagi menjadikan Kuantan sebagai low carbon city dan kita juga nak menghidupkan kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya penjagaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demkian ketika sidang media selepas merasmikan dan melawat aktiviti yang dijalankan pada program Green Hour: Kuantan Car Free di sekitar Jalan Mahkota dan Jalan Bandar, di sini.
Turut hadir Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.
Menurut beliau, program yang bermula dari 7 pagi sehingga 11 pagi ini merupakan percubaan pihaknya untuk mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai.
“Setakat ini, program ini, di Kuantan ini, merupakan yang pertama di negeri ini dan kita akan luaskan ke daerah lain sekiranya program hari ini mendapat sambutan yang baik dari orang ramai.
“Dan kita juga akan menjalankan program ini setiap bulan selepas ini dan MBK akan menetapkan tarikh.
“Ini bagi mempromosikan budaya hidup sihat selain mempromosikan kawasan Street Art ini dan kawasan sekitar dan ianya juga akan menjadi satu identiti baharu kepada bandaraya kita,” katanya.
Hampir 1,000 pengunjung turut terlibat dalam aktiviti berbasikal BMX, papan luncur, aktiviti ‘busking’, basikal tolak, bola sepak jalanan, nurseri, dan Pasar Karat serta Pasar Dinda. -PAHANGMEDIA