Kuantan 188 kini menawarkan aktiviti ‘Sky Deck’, ‘Sky Walk’ dan menjelang Ramadan ialah Berbuka Puasa Di Awan yang memberikan pengalaman berbeza untuk dirasai dengan pemandangan indah pada ketinggian 188 meter dari paras laut.

KUANTAN 188 SASAR 350,000 PENGUNJUNG MENJELANG DISEMBER 2022

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 MAC 2022 : Kuantan 188 menyasarkan seramai 350,000 pengunjung yang akan mengunjungi menara kedua tertinggi di Malaysia itu menjelang penghujung tahun ini.

Pengarah Urusan Kuantan 188, YH. Dato’ Zulkifli Mohamad berkata, sejak dibuka pada 15 Disember lalu, Kuantan 188 telah menerima seramai 55,000 pengunjung dari serata dunia.

Katanya, pihak Kuantan 188 juga kini bersedia menerima kunjungan pelancong yang lebih ramai selepas pengumuman oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di mana pembukaan sempadan akan dilaksanakan pada 1 April ini.

Pengarah Urusan Kuantan 188, YH. Dato’ Zulkifli Mohamad

“Maka kita sedang bersiap untuk 1 April ini, untuk menerima pengunjung-pengunjung daripada luar negara terutamanya daripada Singapura dan Thailand.

“Dan memang jika dilihat daripada statistik sebelum PKP, memang negara-negara ini termasuk Indonesia gemar melancong ke Pantai Timur dan tentulah orang Singapura ramai yang datang ke Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Prebiu Berbuka Puasa Di Awan bertempat di Pelantar Pemandangan Kuantan 188, di Kuantan, kelmarin.

Pakej Berbuka Puasa Di Awan buat julung kalinya diadakan buat pengunjung khususnya umat Islam berpeluang merasai sendiri pengalaman menikmati juadah berbuka puasa pada ketinggian 188 meter dengan disajikan pemandangan indah yang semestinya menjadi pilihan kebanyakan pengunjung yang melancong ke Daerah Kuantan.

Pakej berbuka puasa ini dibuka bermula 7 hingga 28 April dengan beraneka juadah enak yang dihidangkan antaranya ialah kambing bakar, kebab, daging masak hitam dan kuih-muih tradisional.

Untuk tempahan awal berbuka puasa, orang ramai boleh menghubungi talian 09-5315421 kerana tempahan berbuka hanya terhad untuk 100 sahaja pada satu-satu masa.

Khusus pada Ramadan nanti, selain berbuka puasa, orang ramai juga berpeluang untuk menunaikan solat fardhu dan solat sunat tarawih di Pelantar Pemandangan manakala hidangan moreh pula disediakan di pelantar restoran dan skydeck. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download