Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 9 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan serta kemakmuran maayarakat Orang Asli dalam arus pembangunan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, ini dibuktikan dengan tambahan peruntukan kepada RM8.7 juta bagi Projek Bekalan Air Terawat, Program Pembangunan Infrastruktur, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Ekonomi Orang Asli oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang.
Selain itu katanya, kerajaan juga menubuhkan Orang Asli Corporation (ORACO) yang bertindak sebagai Pusat Sehenti atau One Stop Centre (OSC).
“Ia bertujuan merancang, mengurus dan memantau aktiviti ekonomi yang akan dijalankan di atas tanah yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya kira penubuhan ORACO ini amat disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat Orang Asli di negeri Pahang dan saya berharap agar penubuhan ORACO ini dapat membantu dalam meningkatkan pembangunan Orang Asli,” katanya.
Beliau berucap demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pewartaan tanah Orang Asli merupakan antara keutamaan dalam perancangan kemajuan Orang Asli oleh kerajaan negeri dan JAKOA.
Sehubungan itu, kerajaan negeri dan JAKOA sentiasa bekerjasama untuk mengangkat keperluan kewangan bagi menyelesaikan kerja pengukuran kawasan kampung Orang Asli secepat mungkin melalui Kerajaan Persekutuan berdasarkan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
YB. Dato’ Abd Aziz berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak giat merencanakan dan melaksanakan perancangan pembangunan kawasan luar bandar dalam usaha melahirkan masyarakat yang sejahtera dalam pelbagai aspek.
“Prasarana yang berkualiti dan mencukupi adalah amat penting bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial luar bandar untuk mewujudkan persekitaran kehidupan yang kondusif sekaligus membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan golongan terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga memandang serius peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berperanan sebagai penghubung pentadbiran kerajaan dengan penduduk.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah bersetuju menaikkan elaun bulanan Pengerusi JPKK daripada RM500 kepada RM750 supaya dapat mengurangkan beban kewangan dan pendorong dalam menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik.
Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif yang memohon kerajaan mengkaji semula persempadanan mukim kerana mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan kajian persempadanan JPKK.
“Hasil daripada kajian itu, kerajaan telah mencadangkan bahawa sebanyak 66 penubuhan baharu JPKK Pahang dan tiga JPKK digabungkan daripada 543 JPKK sedia ada, menjadikan keseluruhan JPKK Pahang sebanyak 606.
“Kajian ini akan diteruskan dan diperluaskan dengan melaksanakan kajian persempadanan mukim bagi meneliti dengan lebih jelas bebanan yang dipikul oleh Penghulu Mukim sejajar dengan pertambahan kampung baharu,” katanya. – PAHANGMEDIA