Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI : TELEKOMUNIKASI UTILITI ASAS KETIGA TERPENTING

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 9 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang telah mengiktiraf telekomunikasi sebagai utiliti asas ketiga selepas air dan elektrik di mana semua kawasan pemajuan baharu diwajibkan mengambil kira infrastruktur komunikasi semasa perancangan yang hendak dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, satu garis panduan yang dikenali dengan nama Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur (GPPi) telah dikeluarkan oleh SKMM.

“GPPi ini kini telah dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Pahang sebagai rujukan dalam setiap permohonan baharu Kebenaran Merancang.

“Melalui penguatkuasaan GPPi ini, saya percaya penyediaan perkhidmatan komunikasi di kawasan-kawasan pemajuan baharu di negeri Pahang akan dapat diberikan lebih cepat dan terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak September 2020 usaha menambahbaik perkhidmatan internet di seluruh negara melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dilaksanakan di negeri Pahang, inisiatif di bawah Fasa 1 yang dilaksanakan dalam tempoh 2020 – 2022 kini berada pada landasan yang tepat.

“Berdasarkan kepada status terkini pelaksanaan semua projek tersebut, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pahang juga telah meningkat kepada 90.46 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding 80.83 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA pada suku ketiga 2020.

“Terima kasih juga kepada YAB Menteri Besar Pahang dengan peruntukan sebanyak RM60,000 setahun bagi langganan Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit (VSAT) kepada 50 kawasan yang mempunyai masalah capaian di mana jumlah keseluruhan peruntukan ini adalah sebanyak RM3 juta setahun,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Pelan Digital Negeri Pahang akan dilancarkan pada tahun depan dengan matlamat utamanya untuk mewujudkan ekosistem digital yang simbiosis antara kerajaan, pihak swasta dan rakyat.

“Bajet sebanyak RM16.33 juta bagi Pelan Digital Negeri Pahang yang diluluskan akan digunakan khususnya untuk membantu kerajaan negeri dalam mengadaptasikan digital dan mempromosikan gaya hidup digital di kalangan rakyat.

“Beberapa program akan dirancang pada tahun hadapan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat potensi serta faedah yang ada dengan mengamalkan gaya hidup digital,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download