YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima buku Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang daripada YB. Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Nazri Abu Bakar

BELANJAWAN PAHANG: KERAJAAN PAHANG BERJAYA KUTIP RM505 JUTA HASIL TANAH

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Kutipan keseluruhan hasil tanah Negeri Pahang bagi tahun 2020 adalah berjumlah RM505.15 juta atau bersamaan dengan 122.60 peratus berbanding jumlah sasaran awal tahun 2020 yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri iaitu sebanyak RM417.80 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran yang ditetapkan bagi kutipan hasil tanah negeri Pahang untuk tahun 2021 pula adalah berjumlah RM453.39 juta dengan jumlah kutipan hasil tanah setakat 30 November 2021 adalah sebanyak RM492.46 juta iaitu bersamaan dengan 108.6 peratus daripada jumlah sasaran yang ditetapkan pada awal tahun 2021.

“Susulan gelombang ketiga penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara, Kerajaan Negeri atas dasar prihatin telah bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah semasa sehingga 31 Ogos 2021.

“Pada masa yang sama, jumlah kutipan tunggakan cukai tanah negeri Pahang sehingga berakhir 30 November 2021 adalah sebanyak RM90.67 juta dan jika dibandingkan pencapaian pada tahun 2020, kutipan tunggakan cukai tanah adalah RM56.79 juta. Ini bermakna kutipan tunggakan cukai tanah Negeri Pahang pada tahun 2021 telah mencapai peningkatan sebanyak 33.90 juta ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, usaha untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi tahap kecekapan urusan pentadbiran tanah di Negeri Pahang yang mana seterusnya secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil tanah, pihak Kerajaan Pahang melalui PTG dan PDT telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan proses permohonan tanah diterima setiap tahun.

“Penyelesaian tuntas tunggakan urusan permohonan tanah kerajaan akan berperanan sebagai serampang dua mata dengan membantu meningkatkan lagi kutipan hasil daripada pembayaran premium dan cukai tanah serta pada masa sama menyelesaikan isu–isu yang melibatkan permohonan tertunggak untuk sekian lama,” katanya.

Sementara itu, bagi tujuan membantu rakyat di negeri ini khususnya pemilik tanah berdaftar, Kerajaan Pahang telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tahun 2021 bagi semua hak milik tanah di negeri Pahang sehingga berakhir 31 Ogos 2021.

“Sehubungan dengan itu, pengiraan denda lewat menjelaskan cukai tanah hanya akan dikenakan mulai 1 September 2021. Pada masa yang sama, untuk memudahkan urusan pembayaran cukai tanah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana pemilik tanah menghadapi kesukaran untuk hadir ke PTG atau mana–mana PDT untuk membuat bayaran, pembayar cukai tanah di Pahang boleh membuat semakan cukai tanah dan membuat pembayaran secara dalam talian menerusi laman sesawang Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang menerusi bayaran dalam talian ataupun FPX.

“Kerajaan Negeri Pahang juga telah bersetuju supaya remisyen kadar cukai tanah tahun 2021 dikekalkan sebagaimana yang diputuskan pada tahun 2020. Melalui keputusan pemberian remisyen kadar cukai tanah tahun 2021, ia diharap dapat memberi kelegaan dan ruang mencukupi kepada pemilik tanah berdaftar untuk menjelaskan cukai tanah semasa tahun 2021 sepenuhnya walaupun dalam mendepani cabaran pandemik COVID–19,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download