YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

BELANJAWAN PAHANG: PERUNTUKAN RM8.4 JUTA RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Sebanyak RM8.4 juta diperuntukkan Kerajaan Pahang bagi melaksanakan pelan transformasi sektor pelancongan bagi tahun 2022 sekaligus memanfaat potensi-potensi aset pelancongan yang ada di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang melalui Tourism Pahang telah merangka dan merancang kepelbagaian strategi dan memberi penekanan ke arah usaha meningkatkan keyakinan pasaran untuk melancong semula akibat penularan wabak COVID-19 dengan kerjasama penggiat-penggiat industri.

“Antara usaha yang dilakukan ialah penyediaan tawaran penginapan kreatif dengan kadar menarik oleh sektor perhotelan dengan menawarkan konsep “Buy Now Travel Later” dalam pelbagai media dalam tempoh PKP atau selepasnya dan meneruskan konsep Baucar Pelancongan (Tourism Voucher).

“Agensi Pelancongan (Travel Agents) akan menawarkan pakej-pakej inovatif bersesuaian dengan citarasa pelancong tempatan, bekerjasama dengan pengusaha homestay untuk rekabentuk pakej baru dan meneruskan usaha Pelan Pemulihan Sektor Pelancongan Negeri Pahang – Travel Bubble dan meneruskan konsep Baucar Pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Pahang juga akan menggiatkan usaha promosi media melalui kerjasama dengan stesen TV dan radio milik kerajaan dan swasta bagi mempromosikan produk pelancongan di kalangan rakyat Malaysia serta mempergiatkan promosi dengan syarikat-syarikat pengiklanan swasta.

“Kita juga akan sentiasa memberi galakan kepada pengusaha-pengusaha homestay untuk menjual produk-produk kampung bagi meningkatkan sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk merancakkan sektor pelancongan bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, tetapi yang paling penting dapat menghidupkan kembali sektor yang menjadi tulang belakang ekonomi dan sara hidup rakyat negeri Pahang.

“Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Pertandingan Kayak bertaraf dunia yang kita namakan sebagai “PAHANG OCEAN CANOE INTERNATIONAL CHALLENGE” yang akan menjadi mercu tanda baharu dalam sektor pelancongan negeri Pahang khususnya dan Malaysia amnya.

“Pertandingan ini akan menggunakan jajaran persisiran pantai sepanjang lebih 240 kilometer iaitu dari Pantai Hiburan Rompin hingga ke Pantai Cherating. Ia dijadualkan berlangsung selama lima hari dan melibatkan anggaran 900 peserta termasuk dari luar negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download