Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar yang memenuhi aspek Environmental, Social, Governance (ESG) bakal terus menjadi salah satu penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri dengan jangkaan sumbangan sejumlah RM150 juta bagi tahun 2022.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang telah melaksanakan kadar royalti baharu bagi mengekalkan prestasi sektor perhutanan yang menggalakkan sumbangan kepada pembangunan sosiao-ekonomi.
“Ia dikenakan ke atas pengeluaran kayu balak dan kayu jaras, melaksanakan proses tender untuk kawasan pembalakan, mengenakan caj memasuki Taman Eko Rimba dan Taman Negeri, cadangan mengenakan caj untuk sumber air dalam Hutan Simpan Kekal (HSK), mengenakan caj untuk penjualan anak pokok hutan, sumber daripada pokok herba serta memperkemaskan industri eko-pelancongan.
“Selain itu ialah usaha meningkatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang perhutanan, menjana sepenuhnya penggunaan tenaga sumber manusia dan memperkemaskan Sistem Kutipan Hasil Hutan secara berkomputer agar kutipan hasil dari sektor perhutanan dapat ditingkatkan serta mengurangkan ketirisan hasil hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, Kerajaan Pahang juga memperuntukkan sebanyak RM34.48 juta bagi bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan hutan dan operasi serta menguruskan perbelanjaan di peringkat pentadbiran pada tahun depan.
“Di samping usaha untuk meningkatkan kutipan hasil hutan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan untuk aktiviti memulihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, air dan tanah untuk memastikan pengekalan dan penggunaannya secara terus dan terancang.
“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akan terus menjalankan projek-projek yang berimpak tinggi berkaitan dengan eko-pelancongan dan biodiversiti hutan yang menjurus ke arah aspek kestabilan dan pengekalan kelestarian alam sekitar sejajar dengan keperluan dan matlamat Kerajaan Negeri bagi meningkatkan hasil dan perkhidmatan hutan melalui pelbagai aktiviti perhutanan tersebut seperti tumbuhan ubatan, minyak gaharu dan sebagainya,” katanya.
Tegasnya, penguatkuasaan dan pemantauan juga telah ditambah baik bagi meningkatkan hasil di mana Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sedang dalam perancangan membina bilik gerakan kawalan (war room) dan pemprosesan perolehan imej.
“Kewujudan war room ini bertujuan untuk membuat pemantauan hutan secara ‘real-time’ menggunakan data imej satelit dan sebanyak RM1.05 juta diperuntukkan bagi projek ini sekaligus dapat mengurangkan ketirisan hasil bagi Jabatan dan Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA