Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Berita gembira buat penjawat awam di negeri ini apabila Belanjawan 2022 Pahang turut menyenaraikan bayaran saguhati sebanyak RM1,200 pada Januari depan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang tidak pernah melupakan jasa dan komitmen penjawat awam negeri ini dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan masyarakat dapat dicapai.
“Sebagai penghargaan kepada kakitangan awam, kerajaan telah bersetuju untuk memberi insentif sebanyak RM1,200 kepada setiap penjawat awam di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri bagi semua gred.
“Bayaran ini akan dikreditkan kepada mereka pada minggu ketiga bulan Januari 2022 dan melibatkan sebanyak seramai 8,000 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM9.6 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini. -PAHANGMEDIA