YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

BELANJAWAN PAHANG: PERUNTUKAN RM18.8 JUTA JAGA KHAZANAH WARISAN PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Sebanyak RM18.8 juta diperuntukkan Kerajaan Pahang kepada Perbadanan Muzium Negeri Pahang termasuk bagi projek menaiktaraf muzium-muzium dan kajian pembangunan artifak.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara usaha yang bakal dilakukan ialah menaiktaraf Muzium Masjid Sultan Abdullah, Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah, Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah Kampung Pulau Keladi serta Pembangunan Pulau Beram di Pekan.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1 juta bagi merealisasikan penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah yang menjadi sumber rujukan sahih dan dimanfaatkan oleh pelbagai peringkat masyarakat.

“Antaranya dengan menjalankan penyelidikan berterusan oleh pakar-pakar dari pelbagai bidang ilmu, kajian lapangan, seminar, kolokium, persidangan dan penerbitan bahan bacaan seperti buku, jurnal, monograf, travelog, majalah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, peruntukan sebanyak RM2 juta di bawah RMK-12 bagi cadangan projek menaiktaraf pembangunan Pulau Beram, Pekan telah diluluskan.

“Muzium Negeri Pahang menerapkan konsep muzium dalam taman yang menjadikan muzium ini lebih terbuka dari segi penggunaan ruang dan mempunyai interaksi yang sangat baik dengan alam semula jadi.

“Oleh itu, bagi meneruskan usaha ini, pada tahun 2022, sebanyak RM9 juta akan diperuntukkan untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh berkenaan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada kerja-kerja menaiktaraf Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi yang telah menyumbang kepada salah satu identiti popular negeri ini melalui kain tenun Pahang.

“Pada tahun 2021, Muzium Pahang menguruskan projek menaiktaraf perkampungan tersebut yang bakal mewujudkan sepuluh buah rumah inap (homestay), bengkel penghasilan kain Tenun Pahang Diraja dan memperkenalkan permainan tradisional seperti permainan gasing.

“Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah juga dapat memberi pengalaman percutian untuk pelancong dan membuka peluang pekerjaan bagi penduduk setempat sesuai dengan konsep penawaran dan permintaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download