YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

BELANJAWAN PAHANG: RM5 JUTA BAGI DASAR DAN PELAN PEMBANGUNAN WANITA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM5 juta bagi Penggubalan Dasar Wanita Pahang dan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) dalam tempoh lima tahun (2022-2026) dengan geran permulaan berjumlah RM1 juta setahun.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelan tersebut menyediakan hala tuju, garis panduan serta strategi yang melibatkan wanita secara berkesan sekaligus mengoptimumkan potensi wanita dalam pelbagai kluster pembangunan wanita di negeri ini.

“Dasar yang komprehensif berserta pelan tindakan wanita ini khusus melibatkan seramai 100 orang profesional, pakar dan penyelidik dari kalangan anak Pahang dari pelbagai bidang di mana Jawatankuasa Kerja Pelan Tindakan Wanita dianggotai oleh tokoh-tokoh Wanita Negeri Pahang seperti, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur, Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, Tan Sri Norliza Rofli, Dato’ Sri Maznah Mazlan dan ramai lagi.

“Penyelidikan turut mencakupi semua kategori sasaran seperti wanita muda, ibu tunggal, usahawan, profesional dan suri rumah sedang dijalankan oleh pihak penyelidik dan hasil kajian dijangka akan dibentangkan pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM80,000 setahun bagi kos penyelenggaraan Pahang Women’s Center yang menyediakan perkhidmatan sebagai pusat perlindungan sementara, pusat khidmat nasihat dan kaunseling serta sebagai pusat aktiviti Majlis Pembangunan Wanita Negeri Pahang.

“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM280,000 untuk melaksanakan Program Anggun Niaga yang menyediakan bantuan kewangan one-off bernilai RM1,000 kepada setiap 280 usahawan kecil ibu tunggal di seluruh Pahang.

“Selain itu, kita turut memberi perhatian terhadap kesihatan golongan wanita di mana selain meneruskan program Saringan Mamogram Cakna Suri, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1.9 juta bagi saringan Kanser Serviks (HPV DNA) yang akan memberi faedah kepada 6,000 orang wanita B40 di negeri ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download