Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Penubuhan Orang Asli Corporation (ORACO) yang menggantikan perancangan awal penubuhan Perbadanan Orang Asli merupakan lambang keprihatinan Kerajaan Pahang dalam usaha memperkasakan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ORACO akan bertindak sebagai Pusat Sehenti atau One Stop Centre (OSC) bagi merancang, mengurus, dan memantau aktiviti ekonomi yang akan dijalankan di atas tanah yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat orang asli.
“Bagi merealisasikan segala perancangan berkaitan, Kerajaan Pahang akan memberikan geran kepada Orang Asli Corporation (ORACO) sebanyak RM1 juta pada tahun 2022 untuk memulakan pembangunan Orang Asli Negeri Pahang.
“ORACO juga bertindak sebagai penyelaras pembahagian tanah yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat orang asli yang akan dibangunkan kepada agensi-agensi kerajaan seperti FELCRA Berhad, RISDA dan RISDA Plantation Sdn. Bhd.
“Kita lihat ORACO mampu meminimakan ketirisan kutipan hasil melalui pengurusan tanah yang berpotensi untuk bermanfaat kepada masyarakat orang asli dengan sistematik dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai bantuan telah disalurkan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di mana sebanyak 25,300 bantuan bakul makanan telah disumbangkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli Negeri Pahang yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjumlah RM8.5 juta bagi Fasa 1 dan Fasa 2.
“Peruntukan bagi tujuan Projek Pembangunan Infrastruktur dan Ameniti Sosial di perkampungan Orang Asli pada tahun ini adalah sebanyak RM7.5 juta manakala sebanyak RM13 juta telah diperuntukkan bagi program Pemantapan Penyelarasan Bantuan Pendidikan Orang Asli dan Bantuan Kebajikan,Perubatan Orang Asli,” katanya. -PAHANGMEDIA