Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri Pahang dijangka mengutip hasil sebanyak RM1.036 bilion pada tahun hadapan iaitu peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding anggaran pada tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peningkatan sebanyak RM236 juta ini dijangka diperoleh daripada beberapa sumber.
“Kutipan hasil tahun 2022 dijangka diperolehi daripada hasil tanah sebanyak RM643.71 juta; hasil perhutanan sebanyak RM150.10 juta; hasil air sebanyak RM19.41 juta; geran Kerajaan Pusat sebanyak RM101.05 juta; dan lain-lain hasil sebanyak RM122.09 juta.
“Kutipan hasil negeri dijangka akan mengalami peningkatan melalui pelaksanaan yang lebih bersepadu bagi kutipan cukai, premium dan hasil tanah. Walau bagaimanapun, bagi jumlah sebenar adalah bergantung kepada prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan pada tahun 2022.,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Dato’ Sri Wan Rosdy berkata Belanjawan 2022 akan menyediakan peruntukan berjumlah RM1.031 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus iaitu peningkatan sebanyak 29.61 peratus.
“Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Belanjawan 2022 akan menyediakan peruntukan berjumlah RM1.031 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, Perbelanjaan Lain dan Aset.
“Anggaran Perbelanjaan Mengurus untuk tahun 2022 telah meningkat sebanyak RM235.57 juta atau 29.61 peratus berbanding tahun 2021.
“Oleh yang demikian, Anggaran Belanjawan Tahun 2022 menunjukkan lebihan atau surplus sebanyak RM5.79 juta,”katanya.
Manakala anggaran Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2022 meningkat sebanyak RM121.35 juta atau 60.10 peratus berbanding tahun 2021.
“Manakala bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan adalah sebanyak RM323.26 juta. Ia akan melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM171.98 juta dengan pembiayaan cara langsung, manakala RM151.28 juta adalah daripada pinjaman bagi membiayai Projek Bekalan Air.
“Projek ini akan menyumbang sebanyak 46.80 peratus daripada keseluruhan peruntukan projek pembangunan. Ini menunjukkan komitmen yang tinggi oleh Kerajaan Negeri dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dari segi bekalan air,” katanya.
Menurut beliau, belanjawan 2022 ini telah mengambil kira semua aspek dalam pemulihan pasca COVID-19.
“Belanjawan tahun 2022 turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan,” katanya. -PAHANGMEDIA