Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN PAHANG AGIH 387 PERANTI KEPADA ENAM SMOA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang telah mengagihkan sebanyak 387 peranti kepada enam Sekolah Orang Asli (SMOA) di negeri ini bagi mengurangkan jurang pembelajaran murid-murid terbabit.
 
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, peranti terbabit telah diberikan kepada enam sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Betau, Kuala Lipis, SK Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan, SK Satak, Raub, SK Penderas, Temerloh manakala SK Telanok dan SK Menson di Cameron Highlands.
 
Malah, jelasnya, kerajaan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) telah melaksanakan beberapa insiatif kerajaan bagi memastikan pelajar Orang Asli tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
 
“Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan KPMPerkasaKU, keduanya kerajaan telah mengagihkan peranti kepada anak-anak kita dan ketiga mereka melaksanakan catch-up hambatan bagi pelajar-pelajar yang tertinggal,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat empat strategi yang diperkenalkan menerusi KPMPerkasaKU iaitu Strategi Pengukuhan dan Pengayaan, Pemugaran Literasi dan Numerasi, Repositori SumberKU yang boleh diakses menerusi portal DELIMa dan Pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
 
KPM turut membangunkan ruang pembelajaran secara kendiri, Pemerkasaan Pembelajaran Kendiri atau Student Enrichment Learning Framework (SELF) bagi memaksimumkan potensi diri dan menguasai kemahiran serta pengetahuan yang dipelajari. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download