Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
MARAN, 30 NOVEMBER 2021 : Pihak pemaju yang gagal menyiapkan projek pembinaan sehingga mengakibatkan masalah banjir akan dikenakan tindakan undang-undang.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Abd. Muttalib berkata tindakan ini boleh diambil sekiranya pihak pemaju didapati tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Katakanlah ia (pemaju) lambat laksanakan, dan projek akan ada tempoh (siap) dia, dan kadang-kadang oleh kerana kelewatan kontraktor menyiapkan projek sehingga sampai musim tengkujuh, dan bila berlaku banjir pelaksanaan projek terbengkalai itu yang menyebabkan banjir semakin buruk.
“Jadi itu sebab kita boleh ambil tindakan kepada mereka (pemaju) termasuklah membatalkan kontrak mereka, dan tindakan undang-undang dikenakan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutup Latihan Amal Pengurusan Bencana Banjir Pelbagai Agensi (M-DEX) di Dataran Chenor, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, YS. Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah (Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat) JBPM, YS. Dato’ Nor Hisham Mohammad; dan Pengarah JBPM Pahang, YBhg. Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Tambah beliau lagi, pihak pemaju perlu sentiasa mematuhi tempoh masa projek yang dilaksanakan bagi mengelakkan daripada berhadapan dengan tindakan sedemikian.
“Memang kita ada peruntukan (undang-undang) berkaitan dan tindakan juga boleh diambil terhadap mereka (pemaju), di mana kita boleh tamatkan kontrak mereka serta tidak mengeluarkan sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga telah mengenalpasti lokasi yang memerlukan penambahan aset bagi menghadapi musim banjir kali ini dan bekerjasama dengan pasukan bomba sukarelawan.
“Segala persiapan bagi menghadapi banjir kali ini sudah pun dilakukan termasuklah menambahkan aset seperti kenderaan pacuan empat roda dan bot bagi kegunaan di lokasi yang berisiko.
“Kalau nak harapkan pegawai dan anggota bomba sepenuhnya, memang sukar jadi inilah peranan penting dimainkan mereka (pasukan bomba sukarela) untuk memberikan bantuan awal kepada penduduk setempat,” katanya.
Sebanyak 11 jabatan dan agensi terlibat dalam latihan hari ini antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Daerah Maran. – PAHANGMEDIA