YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (empat dari kiri) menyerahkan kunci kepada Puan Rozita Abd Rahim, 54, yang menerima Rumah Rakyat Pahang di Kampung Air Hitam, Pekan

MILIKI RUMAH RAKYAT PAHANG BAGAI MIMPI BAGI ISTERI PENOREH GETAH

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali

PEKAN, 29 NOVEMBER 2021 : Perkhabaran tentang kelulusan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagaikan ‘bulan jatuh ke riba’ bagi isteri penoreh getah, Puan Rozita Abd Rahim, 54, setelah berpuluh tahun berharap memiliki rumah sendiri.

Puan Rozita berkata pendapatan RM500 sebulan hasil suaminya, Encik Zulkifle Junoh, 51, menoreh getah hanya cukup untuk menyara perbelanjaan mereka lima sekeluarga, jauh sekali untuk memperoleh rumah sendiri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengadakan lawatan ke Rumah Rakyat Pahang milik Puan Rozita Abd Rahim, 54, di Kampung Air Hitam, Pekan

Beliau berkata, keadaan rumah sewa sebelum ini amat uzur dan mengalami kebocoran setiap kali tiba musim hujan.

“Dengan sumbangan rumah ini saya dapat hidup dengan selesa lagi. Rumah dulu memang ada mengalami kebocoran dan dinding buruk.

“Sekarang dapat rumah baru memang bersyukurlah, Alhamdulillah. Terima kasih kepada YAB Menteri Besar kerana mengurniakan rumah ini kepada saya,” katanya selepas Majlis Serah Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Air Hitam, Pekan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah meluangkan masa menyampaikan sendiri kunci rumah tersebut kepada Puan Rozita.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADN), Chini, YB Mohd Shahrim Md Zin dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Puan Rozita sekeluarga turut menerima sumbangan barangan keperluan elektrik bernilai RM2,000 sumbangan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta sumbangan tilam daripada YB Mohd Shahrim. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds