YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat tanaman timun ketika mengadakan lawatan ke Projek Fertigasi timun milik Koperasi Masjid Bukit Sekilau di Kuantan
MANFAATKAN TANAH KERAJAAN YANG DITERIMA SEBAIK MUNGKIN : MENTERI BESAR PAHANG
Oleh : Fairus Mohd Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2021 : Kerajaan Negeri bersedia untuk mempertimbangkan mana-mana permohonan tanah bagi mereka yang benar-benar memerlukan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tanah merupakan sumber yang sangat terhad dan bukanlah sesuatu yang patut dimohon untuk dijual.
“Seperti hari ni koperasi Masjid Bukit Sekilau dapat TOL (Lesen Pendudukan Sementara) mereka telah buat (usahakan) kita sendiri nampak kejayaannya (menanam) timun. kemudian ada (tanah) lebih mereka hendak usahakan lagi, InsyaAllah kerajaan negeri akan pertimbangkan… yang kita tak nak ada yang mohon tapi bagi kat orang lain, jadi ia ‘beat the purpose’ (tak capai tujuan).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memetik timun ketika mengadakan lawatan ke Projek Fertigasi timun milik Koperasi Masjid Bukit Sekilau di Kuantan
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada koperasi ini kerana telah menunjukkan keupayaan mereka untuk mengusahakan tanah dan membuahkan hasil. Ini adalah usaha yang sangat bagus kerana di negara kita, masih lagi kekurangan sayur untuk rakyat tempatan. Sekiranya (tanam sayur) berskala besar kita boleh kurangkan import malah mungkin boleh eksport ke negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Projek Fertigasi timun milik Koperasi Masjid Bukit Sekilau di sini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah dan Pengerusi Koperasi Masjid Bukit Sekilau, Dato’ Abdul Rahman Ismail.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata pengeluaran notis 8A (rampasan tanah) telah berjaya menemukan kembali pemilik-pemilik tanah terbiar di negeri ini.
“Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil atau mengusahakan sesuka hati sesebuah kawasan tanah tanpa melihat siapakah pemilik tanah. Walaupun kita lihat tanah terbiar, kita kena cari pemilik tapi masalahnya pemilik tidak ada di kampung.. (mereka) ada di tempat lain dan kadang-kadang tidak dapat dikesan.
“Sebab itu (bila) kita keluarkan notis 8A bagi mereka yang tidak membayar cukai tanah ini, barulah mereka tampil ke depan dan ini satu perkembangan yang sangat baik.
Menurutnya, tindakan berkenaan menyebabkan ramai yang tampil dan mengaku bahawa telah mengabaikan tanah milik mereka serta mahu kembali memilikinya.
“Ada yang buat keputusan untuk tukar ke nama anak dan sebagainya dan Kerajaan Negeri mengalu-alukan (tindakan pemilik) kerana kita tak nak tanah yang ada terbiar begitu sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA