Siti Noor Khairany Sikh Said ketika menerima kunjungan YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini

AYAH, ADIK BERADIK TEMPAT SITI NOOR KHAIRANY BERGANTUNG HIDUP

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 NOVEMBER 2021 : Dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) 43 tahun lalu, hidup terasa lebih kekurangan apabila ibu pula meninggal dunia ketika melahirkan adik bongsunya.

Menghidap cerebral palsy sejak lahir, Siti Noor Khairany Sikh Said bergantung hidup sepenuhnya kepada bapa dan lima lagi saudara kandungnya.

Menurut bapanya, Sikh Said Sikh Abu Bakar, 82, setiap hari dia dan anak-anak yang lain menguruskan Siti Noor Khairany yang hanya terlantar dan tidak mampu berkomunikasi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengadakan ziarah prihatin di sekitar Parlimen Indera Mahkota hari ini

“Sekarang ini ada seorang anak yang tinggal bersama saya dan dia membantu menguruskan Siti. Saya akui dalam umur sebegini memang sudah kurang tenaga untuk menguruskannya, namun mengenangkan nasib Siti, saya perlu terus kuat.

“Terima kasih Menteri Besar Pahang kerana sudi datang menjenguk keadaan kami anak beranak dan menyampaikan sumbangan yang meringankan beban kami,” katanya.

Sikh Said yang menghidap penyakit usus berkata dia tidak lagi melakukan sebarang pekerjaan dan hanya bergantung hidup pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain anak-anak yang bekerja.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang hadir melawat keadaan Sikh Said dan anaknya menyampaikan bantuan wang tunai serta meluangkan masa bertanya khabar sebelum menziarahi ke sebuah lagi rumah penduduk setempat.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download