Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
CAMERON HIGHLANDS, 20 NOVEMBER 2021 : Kerajaan Pahang berpuas hati dengan tindakan pantas Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JKNP) berkaitan isu penguatkuasaan dan pemuliharaan hutan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana JPNP kini sedang giat memulihara semula kawasan hutan yang terjejas.

“Sepertimana semua sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, terutamanya dalam kerja-kerja penguatkuasaan dan pemuliharaan hutan di negeri ini.
“Dalam isu Tasik Chini misalnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM 6.45 juta bagi tujuan pemuliharaan tasik ini, melibatkan empat komponen iaitu aktiviti penanaman semula pokok; pemulihan kawasan hakisan; pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli di persekitaran; dan kempen kesedaran pemeliharaan hutan di kawasan pencerobohan.
“Usaha-usaha pemuliharaan ini sedang giat dilaksanakan, dan saya ’angkat tabik’ atas tindakan pantas Jabatan Perhutanan Negeri dalam menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Mossy Forest @ PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zentih di sini.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semananjung Malaysia, YH Dato’ Mohd Ridza Awang, Barisan Exco Kerajaan Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri
Menurut beliau lagi, sebanyak 6,502.8 hektar Hutan Simpan telah diwartakan bagi tahun ini bagi memelihara kawasan Tasik Chini.
“Jika pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah meluluskan seluas 4,635.33 hektar kawasan Tasik Chini sebagaI Hutan Simpanan Kekal; tahun 2021 ini pula, tambahan lagi 6,502.8 hektar dilulus dan diwartakan.

“Pertambahan ini membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri dalam memelihara kawasan rizab biosfera Tasik Chini,” katanya.
Beliau dalam majlis berkenaan juga turut melancarkan aplikasi PahangGo bagi kutipan fi untuk memasuki kawasan hutan di Cameron Highlands. -PAHANGMEDIA