Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2021: Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR) amat penting dalam melengkapkan peranan muzium terutama untuk mengkaji dan meneroka warisan kebudayaan serta sejarah tempatan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bertitah, pusat kajian ini bukan sahaja sebagai pusat pendidikan dan rujukan tetapi juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya Negeri Pahang dikaji selidik, diterokai serta difahami dengan lebih mendalam lagi.

“Pusat kajian ini amatlah penting seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Majlis Jamuan Teh Sempena Taklimat Cadangan Menandatangani Perjanjian (MoA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah pada 22 Mac 2021 yang lalu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Persidangan Diraja Dan Pemeteraian Kerjasama Muzium Pahang di Hotel Hyatt di sini hari ini.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Negeri Pahang , YH Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal.
Baginda bertitah, muzium sebagai sebuah institusi di bawah naungan Istana, bukanlah hanya sebagai pusat tarikan pelancong dan pemuliharaan barangan artifak semata-mata tetapi juga menjadi institusi ilmu yang menyimpan serta menyambung warisan kebudayaan dan sejarah tempatan.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bertitah, pusat kajian ini juga berfungsi sebagai pusat kebudayaan dan kesenian yang memperkenalkan hasil seni dan kreativiti anak tempatan.
“Hasil seni dan kreativiti ini berpaksikan kepada ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh mereka berdasarkan pengalaman mereka yang luas dan mendalam.
“Oleh itu, pusat kajian ini semestinya akan memperkenalkan aspek tersebut seperti seni tenunan tekstil, kemahiran memasak, dan sebagainya. Aspek ini yang menjadikan pusat kajian lebih unik dan berketrampilan kerana menonjolkan aspek ilmu, kebudayaan dan kesenian,” titah baginda. – PAHANGMEDIA