Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 18 NOVEMBER 2021 : “Emak sayalah orang yang paling gembira hari ini bila tahu terima rumah kurniaan ini,” ujar Puan Siti Rokiah Zainal Abidin anak kepada penerima rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) hari ini.
Puan Siti Rokiah, 51, yang merupakan anak kepada Puan Ramlah Hitam, 81, berkata ibunya tidak menyangka akan menerima kurniaan rumah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas rumah yang didiami sejak 50 tahun lepas rosak teruk akibat banjir.

“Emak sayalah orang yang paling gembira hari ini kerana dia memang tak sangka dalam umurnya macam ini akan terima kurniaan kediaman yang sangat selesa.Menjunjung kasih Seri Paduka Tuanku ke atas pengurniaan rumah yang selesa ini,” kata ibu kepada dua anak itu.
Dia yang merupakan ibu tunggal dan menetap bersama ibunya di Kampung Lompat menyatakan rumah kurniaan tersebut memang sangat diperlukan keluarganya.
“Rumah pusaka keluarga itu memang rosak teruk selepas kawasan ini dilanda banjir pada awal tahun lepas. Tambah pula rumah berdekatan dengan Sungai Pahang, jadi ia mendap dan sebahagian rumah juga roboh ketika banjir itu,” katanya.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli mengurniakan replika kunci rumah kepada Puan Ramlah semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Lompat, hari ini.
Turut berangkat, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, YBrs. Ir. Hafizah Zakaria dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah yang berkeluasan 960 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan tiga bilik air selain tangga di hadapan dan belakang rumah dengan kos RM100,000 sebuah yang dilengkapi perabot dan set bilik tidur. – PAHANGMEDIA