Encik Shahrul Azuwan Arifin menerima surat pengecualian sewa/diskaun 30 peratus MARA daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Aziz Haji Mat Kiram

USAHAWAN MARA BERAZAM LONJAK PERUSAHAAN DALAM NORMA BAHARU

Oleh : Fansurina Abdullah

RAUB, 14 OKTOBER 2021: Seramai 13 usahawan dan peniaga Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menerima suntikan dana serta pembiayaan daripada agensi terbabit berazam untuk meningkatkan produktiviti dan pemasaran selepas mengalami kejatuhan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

MARA menerusi Program MARA Prihatin di bawah peruntukan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah memperkenalkan tiga pakej bantuan bagi membantu usahawan yang terjejas iaitu penjadualan semula bayaran balik pembiayaan MARA, diskaun sewa kepada penyewa premis perniagaan MARA serta kemudahan pembiayaan perniagaan, Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P).

Puan Noorakilah Sabli menerima surat pengecualian sewa/diskaun 30 peratus MARA daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram

Seorang penerima, Puan Noorakilah Sabli, yang mengusahakan pusat kecantikan dan spa di Dong, Raub telah menerima surat pengecualian sewa atau diskaun sewa 30 peratus MARA yang disifatkan mampu meringankan beban peniaga kerana tidak dapat menjalankan operasi perniagaan sejak setahun lalu.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana perniagaan spa yang saya usahakan turut terkesan sebab tidak dapat menjalankan operasi, jadi dengan bantuan PEMULIH yang diterima ini, alhamdulilah sedikit sebanyak dapat menampung pembiayaan untuk bayar sewa dan sebagainya,” katanya.

Cik Noor Izzaidah Abdul Aziz menerima surat moratorium pembiayaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram

Manakala Encik Amar Nur Akhyar Rosli yang menjalankan perusahaan makanan sambal hitam telah menerima Pembiayaan Putra berjumlah RM7,000 bagi memulakan pengoperasian semula perniagaannya yang terpaksa dihentikan sepanjang PKP.

Encik Amar Nur Akhyar Rosli menerima mock cheque pembiayaan Putra berjumlah RM7,000 daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram

“Saya berharap agar perniagaan saya dapat dijalankan dengan lebih baik pada masa akan datang supaya tidak jatuh seperti PKP baru-baru ini,” katanya.

Seorang pengusaha katering, Encik Shahrul Azuwan Arifin pula berharap pengecualian bayaran sewa dan pengurangan sebanyak 30 peratus bayaran sewa ini akan dapat memberi peluang kepada peniaga memulakan perniagaan terlebih dahulu tanpa memikirkan bayaran sewa selepas mengalami kerugian akibat PKP.

“Perniagaan saya ialah katering dan kanopi dalam bidang perkahwinan dan ketika COVID-19 ini tidak dapat beroperasi dan bila ada bantuan seperti ini dapat cover untuk membayar sewa dan pembiayaan dengan pemberian morotarium jadi dapat membantu perniagaan saya daripada terkandas,” katanya.

Bagi Noor Izzaidah Abdul Aziz pula berharap dengan pembiayaan MARA yang diterima ini akan membolehkan beliau mengembangkan perniagaan yang sedikit perlahan ketika PKP.

“Alhamdulillah sangat membantu dalam keadaan pandemik ini pendapatan kita pun tidak menentu dan dengan bantuan ini akan dapat mengurangkan beban perniagaan,” katanya.

Kesemua penerima bantuan dan pembiayaan sangat bersyukur dengan keprihatinan MARA terhadap peniaga dan usahawan MARA di dalam situasi pandemik ketika ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download