Pengarah JKNP, Dato' Dr Nor Azimi bermesra bersama penerima vaksin golongan rentan/gelandangan di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.

SEMUA PENDUDUK PAHANG YANG BERDAFTAR MENERUSI MYSEJAHTERA TELAH DIVAKSIN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 14 OKTOBER 2021: Kesemua penduduk Pahang yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera telah menerima suntikan mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya kini sedang menjejaki sebilangan penduduk yang kemungkinan keciciran daripada mendaftar sebagai penerima vaksin dengan memperluaskan program outreach vaksinasi ke beberapa lokasi tumpuan umum seperti pasaraya dan masjid.

Pengarah JKNP, Dato’ Dr Nor Azimi bermesra bersama penerima vaksin golongan rentan/gelandangan di Jalan Wong Ah Jang

“Mereka yang mendaftar di MySejahtera telah disuntik kesemuanya tetapi kita yakin masih ada lagi mereka yang mungkin tidak mendaftar disebabkan oleh masalah kekangan teknologi, berada di pedalaman, tiada talian telefon dan sebagainya.

“Jadi kita akan mendekati mereka melalui program sebegini, contoh komuniti di Jalan Wong Ah Jang ini kita merasakan mereka mungkin tidak mempunyai kemudahan teknologi jadi kita buat (program vaksinasi) di sini, kita cuba dapatkan seramai mungkin komuniti untuk disuntik vaksin kerana konsep vaksinasi adalah untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Mesra Komuniti Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan bersama Pengarah Kesihatan Negeri Pahang mendekati komuniti gelandangan dan rentan di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.

Pengarah JKNP, Dato’ Dr Nor Azimi bermesra bersama penerima vaksin golongan rentan/gelandangan di Jalan Wong Ah Jang

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Kuantan, YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah, Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, Dr. Mohd Rahim Sulong dan Timbalan Pengerusi Dapur Infaq Ummah Kuantan, Al-Fadhil Ustaz Badrul Jamili Kamaruddin.

Dato’ Dr. Nor Azimi berkata, sehingga kini pihaknya menerima sambutan baik menerusi beberapa program outreach yang telah dilaksanakan di masjid baru-baru ini dan berhasrat untuk mempelbagaikan kaedah pendekatan supaya ianya lebih menyeluruh.

Sementara itu, Al-Fadhil Ustaz Badrul Jamili berkata, hanya kira-kira 20-30 peratus daripada golongan rentan dan gelandangan daerah Kuantan yang masih belum menerima suntikan vaksin disebabkan beberapa faktor dan kekangan termasuklah mereka yang enggan menerima suntikan vaksin.

“Pada peringkat awal dulu kita buka pendaftaran kepada golongan ini memang ada yang menolak dan enggan mengisi borang pendaftaran yang disediakan tetapi pihak NGO menetapkan beberapa syarat tertentu supaya mereka mengisi borang pendaftaran dan sebelum ini juga memang sudah ada antara mereka yang telah menerima vaksin dan pada hari ini adalah mereka yang masih belum divaksin kerana tiada kenderaan, tiada aplikasi MySejahtera dan berbagai masalah lagi,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download