Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Sebanyak 1,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh Pahang bakal menikmati manfaat menerusi Rumah Rakyat Pahang (RRP) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, sehingga kini sebanyak 304 unit rumah untuk golongan yang tidak berkemampuan telah berjaya dibina sejak RRP dilancarkan pada tahun 2020.
“Pembinaan RRP ini telah dilaksanakan pada tahun 2020 sebanyak 98 unit diikuti 102 unit bagi Fasa 1 Tahun 2021 dan Fasa 2 Tahun 2021 sebanyak 104 unit.
“Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 2 ini dijangka akan dimulakan pada bulan September 2021 dan melibatkan peruntukan sebanyak RM6,825,000 dan kerajaan negeri mensasarkan untuk membina sekurang-kurangnya 100 hingga200 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di Kuantan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah bersetuju meluluskan pertambahan RRP Fasa 2 tahun 2021 dan perlaksanaannya akan bermula September depan.
Dalam usaha mendepani situasi pandemik COVID-19 ketika ini, kerajaan turut memberikan pengurangan 50 peratus terhadap bayaran sewa rumah PAKR bagi tahun 2021 dan 2022 dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM330,000.
Menjawab kepada pertanyaan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB. Tuan Lee Chin Chen, ADN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long dan ADN Semambu, YB. Tuan Lee Chean Chung berhubung pengecualian bayaran bulanan sewa premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), beliau berkata, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan pengecualian bagi bayaran bulanan sewa premis PBT sebanyak 50 peratus bagi Jun hingga September 2021 dengan jumlah keseluruhan RM5.2 juta.
Berhubung dasar penjajaan di tepi jalan yang diusulkan oleh ADN Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Haji Sharif, YB. Dato’ Abd Rahim berkata, dasar tersebut masih diteruskan tetapi pihak MBK tidak membenarkan peniaga beroperasi di kawasan berisiko atas faktor keselamatan.
Jumlah permit khas harian penjaja tepi jalan yang telah dikeluarkan dalam tempoh pandemik adalah sebanyak 1,443 termasuklah meluluskan 15 tapak pasar malam dengan mengenakan syarat-syarat tertentu.
Beliau akan memastikan setiap usul dan perkara yang dibangkitkan berkaitan dengan Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan diteliti dan diberi perhatian sewajarnya. – PAHANGMEDIA