Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang memperuntukan RM18 juta bagi pelaksanaan projek mengatasi masalah kekeruhan di tiga loji rawatan air (LRA) di Sungai Semantan, Sungai Klau dan Sungai Bilut.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini melibatkan pembinaan tangki pra pemendapan di kesemua LRA terlibat.
“Tangki pra pemendapan ini berfungsi untuk menakung air mentah yang keruh untuk tempoh masa tertentu di mana proses pra rawatan air mentah yang ditakung ini akan dibuat dengan menggunakan bahan kimia yang bersesuaian untuk merendahkan nilai kekeruhan kepada nilai kekeruhan yang boleh dirawat oleh LRA berkenaan.
“Seterusnya air mentah ini akan disalurkan kepada loji-loji rawatan air yang berkenaan untuk proses pengeluaran air bersih,” katanya ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Tras, YB. Encik Chow Yu Hui pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
ADN Tras sebelum itu meminta penjelasan mengenai status projek RM18 juta yang diguna untuk mengatasi masalah kekeruhan air di ketiga-tiga loji rawatan air dan langkah yang akan digunakan oleh projek ini untuk membersihkan kekeruhan air sungai.
Beliau berkata, bagi status kemajuan ketiga-tiga projek berkenaan dua daripadanya mengalami sedikit kelewatan daripada jadual sebenar.
“Bagi LRA Sungai Bilut kos kontrak bernilai RM7,641,196.60 bermula pada 27 April 2021 dan dijangka selesai pada 26 April 2022. Kerja-kerja di LRA Sungai Bilut lewat 3 peratus daripada jadual sebenar namun demikian kerja-kerja tanah bagi platform level dan piling survey telah selesai.
“Bagi LRA Sungai Semantan, kos di LRA ini adalah sebanyak RM5,220,032 bermula 22 Februari 2021 dan dijangka selesai pada 27 Februari 2022 dan kerja adalah mengikut jadual. Kerja-kerja jalan keluar masuk, longkang, hoarding dan pembersihan kawasan telah selesai.
“Manakala kerja di LRA Sungai Klau, kosnya adalah RM3,408,300 bermula pada 22 Februari 2021 dan dijangka tamat pada 27 Februari 2022, namun berlaku kelewatan 4.42 peratus daripada jadual asal,” katanya. -PAHANGMEDIA