YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong semasa sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN PAHANG BERJAYA TINGKATKAN NILAI PERDAGANGAN RM3.48 BILION

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang telah berjaya meningkatkan nilai perdagangan utama negeri sebanyak 13.5 peratus atau RM3.48 bilion pada 2020.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumber perdagangan utama Pahang yang terdiri daripada eksport dan import itu bernilai RM42.4 bilion pada 2020.

“Nilai eksport Pahang berjumlah RM28.8 bilion pada tahun 2020, meningkat sebanyak 13.5 peratus atau RM3.4 bilion berbanding RM25.4 bilion pada 2019.

“Di samping itu, nilai import Pahang juga meningkat 0.7 peratus kepada RM13.7 bilion berbanding RM13.6 bilion pada tahun 2019,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong.

ADN Cheka sebelum itu meminta penjelasan mengenai sumber perdagangan yang menyumbangkan peningkatan nilai perdagangan Pahang ke RM3.48 bilion pada 2020 dan meminta perbandingan bagi tahun 2019 dan 2020 semasa sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata, terdapat tiga kategori barangan yang terlibat dalam eksport barangan mengikut komoditi utama di negeri ini.

“Antara eksport barangan utama Pahang pada tahun 2020 adalah berasaskan besi dan keluli bernilai RM10.5 bilion dengan pertumbuhan positif kepada RM10.492 bilion pada tahun 2020 berbanding RM3.94 bilion pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 166.4 peratus.

“Bagi sektor oleokimia yang berasaskan kelapa sawit pula menurun sebanyak 21.8 peratus manakala minyak kelapa sawit menurun kepada 23 peratus atau RM1.978 bilion.

“Manakala bagi barangan elektrik dan elektronik yang lain meningkat kepada 12.7 peratus atau RM863 juta dan keluaran petroleum bertapis juga meningkat kepada 16.4 peratus iaitu RM571 juta,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi import barangan utama di negeri ini iaitu keluaran petroleum bertapis menunjukkan peningkatan pada tahun 2020 berbanding pada 2019.

“Import barangan utama pada tahun 2020 adalah keluaran petroleum bertapis yang meningkat kepada 35.6 peratus iaitu dari RM1.338 bilion kepada RM1.815 bilion, diikuti oleh saluran, paip, dan pasangan besi atau keluli yang meningkat kepada 26.6 peratus iaitu RM455 juta kepada RM576 juta.

“Selain itu, keluaran besi gelek rata atau keluli meningkat kepada 56.6 peratus dan motorbas dan lori belum dipasang menurun sebanyak 34.7 peratus iaitu dari RM531 juta kepada RM345 juta.

“Bagi barangan elektrik dan elektronik yang lain pula meningkat sebanyak 30.4 peratus iaitu RM169 juta kepada RM220 juta,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download