Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang telah menyediakan fasiliti mencukupi bagi pemberian suntikan vaksinasi COVID-19 kepada rakyat di negeri ini meliputi seluruh daerah di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata ini termasuklah pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan juga PPV Bergerak.
“Di Pahang, kita telah menyediakan semua fasiliti sama ada PPV awam iaitu klinik kesihatan, dewan, dan hospital, sampailah ke PPV mobile di semua daerah.
“Tapi masalah besar yang kita hadapi adalah jumlah kesampaian vaksin daripada Kerajaan Pusat ke negeri Pahang yang rendah,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, sekiranya bekalan vaksin sampai seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat pada pertengahan Oktober ini, kesemua rakyat di negeri ini yang perlu divaksinkan akan diberi suntikan berkenaan.
ADN Cheka sebelum itu menyentuh mengenai kemajuan vaksinasi di negeri ini yang belum mencapai kapasiti dan kelajuan yang diharapkan dan mencadangkan Kerajaan Pahang menggerakkan PPV Bergerak serta penyertaan klinik swasta bagi pemberian suntikan vaksinasi COVID-19.
YB. Encik Lee Ah Wong juga mencadangkan supaya Kerajaan Pahang menggunakan tindakan berani dan tegas dalam memastikan rakyat di negeri ini menerima suntikan vaksin.
“Saya yakin Kerajaan Negeri masih akan meneruskan kempen pujuk rayu dan promosi vaksin, tetapi apabila semua pendekatan lemah lembut sudah menemui jalan buntu, maka tindakan berani dan tegas perlu difikirkan.
“Misalnya dengan mengenakan sekatan kepada mereka yang enggan divaksin atau mengenakan syarat kepada mereka yang memohon atau memoerbaharui bantuan kebajikan daripada Kerajaan Negeri kecuali mereka yang mendapat pengecualian bertulis daripada pakar perubatan,” katanya.
Menjawab soalan menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB. Puan Young Shefura Othman, beliau berkata, Kerajaan Pahang memerlukan 2.3 juta dos vaksin COVID-19 bagi memastikan semua penduduk di negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas yang layak menerima suntikan vaksinasi melengkapkan suntikan mereka.
Beliau berkata, bagaimanapun bekalan vaksin di negeri ini masih belum dapat menampung jumlah berkenaan.
Beliau turut menafikan dakwaan ADN Ketari bahawa Kerajaan Negeri menghalang ADN dari blok pembangkang untuk mendapatkan maklumat terkini COVID-19.
“Dakwaan YB ketari mengenai ada halangan kepada ADN-ADN pembangkang untuk access maklumat-maklumat di Pejabat Kesihatan Daerah, saya tidak jelas dengan fakta yang mana satu yang dimaksudkan.
“Kalau berkaitan data maklumat kes, kita kena faham PKOB kita mempunyai limitasi kerana maklumat pesakit peribadi pesakit tidak boleh diberikan dengan mudah. Malah exco juga tidak mendapat access kepada maklumat tersebut dengan mudah.
“Oleh itu dakwaan YB Ketari ada berlakunya halangan seperti ini kepada mereka adalah tidak benar sama sekali,” katanya. -PAHANGMEDIA