Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang telah memberikan bantuan sebanyak RM10,000 kepada para pengusaha ikan patin sangkar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, bantuan ini diberikan kepada golongan muda.
“Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan sebanyak RM10,000 kepada anak muda yang mengusahakan ikan patin sangkar di Temerloh,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan bantuan yang diberikan kepada para pengusaha ikan sangkar di Temerloh terutamanya golongan muda yang terkesan dengan lambakan ikan semasa sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
ADN Kuala Semantan juga meminta pihak terlibat supaya turun padang melihat dan mendengar masalah yang dihadapi oleh para pengusaha ikan sangkar di negeri ini.
Selain itu, YB. Dato’ Haji Nor Azmi juga meminta Kerajaan Pahang memberikan pengecualian bagi bayaran permit sementara kepada para peniaga di negeri ini.
“Saya mencadangkan Kerajaan Negeri memberi pengecualian kepada para peniaga membayar permit sementara gerai atau kedai mereka.
“RM11 sehari ini dilihat membebankan rakyat yang mendapat keuntungan kecil yang hanya cukup untuk menampung keluarga mereka, dan pengecualian bayaran ini adalah demi rakyat, untuk membantu rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA