ROSLAN MADUN BAWA NAMA MALAYSIA, NEGERI PAHANG

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 20 OGOS 2021 : Pelantun lagu rakyat popular negeri Pahang, Roslan Madun tidak pernah jemu memperjuangkan genre berkenaan sejak bermula pada tahun 1981.

Terkini, beliau yang menerima Laureate of II degree dalam Pertandingan Lagu Rakyat The International Contest Of Folk Song Artists, Voices of Ancient Cities di Ryazan Russia yang diadakan secara maya bakal diundang ke Konsert Gala yang akan diadakan di Ryzan Regional Philharmonic pada 25 September 2021 bagi mewakili negara.

“Saya menyertai pertandingan berkenaan yang merupakan salah satu acara dalam Forum Antarabangsa Bandar Purba Kali ke-4. Sebanyak 53 buah negara menghantar penyertaan, termasuk Malaysia.

Pelantun lagu rakyat popular negeri Pahang, Roslan Madun

“Disebabkan pandemik, pertandingan ini diadakan melalui video yang dikirim melalui Kedutaan Russia di Malaysia kepada urusetia di Ryazan di mana dua video lagu Seloka Pak Kaduk dan Seloka Pak Pandir telah dihantar dan saya mendapat Laureate of the II degree, iaitu gelaran atau pencapaian yang diiktiraf oleh penganjur,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Menurut figura berusia 69 tahun ini lagi, beliau terharu dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang yang prihatin dan begitu mengambil berat akan pembangunan serta perkambangan kesenian tradisional seperti lagu rakyat ini.

“Saya sangat terharu kerana beliau sering menghubungi saya secara personal memberikan sokongan moral supaya terus memperjuangkan lagu-lagu rakyat Negeri Pahang,” katanya.

Roslan Madun mula memperjuangkan lagu rakyat pada tahun 1981 di tempat kelahirannya Temerloh serta berpengalaman mengadakan persembahan seluruh Pahang dan juga negara sambil bermain rebana.

Beliau mula merakamkan album tahun 2002 sehingga kini telah menghasilkan 15 buah album lagu rakyat, syair, seloka, nazam dan gurindam serta pernah mengadakan persembahan di Fukuoka Jepun, Seoul dan Teajon Korea, Kemboja, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Kerana perjuangannya dalam mengangkat lagu-lagu rakyat Pahang, Pejabat Menteri Besar Pahang telah mencadangkan nama beliau untuk mendapat kepada DYMM Sultan Pahang, beliau telah dianugerahkan SMP, AAP dan PKC.

Manakala kerajaan Indonesia melalui Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan juga telah menganugerahkan beliau Mastero Syair, di Balai Pelestarian Nilai Budaya Tanjungpinang pada tahun 2018 atas usaha beliau menyelidik dan mempopularkan pelbagai irama syair yang terdapat di nusantara.

Selain bergiat dalam lagu rakyat, Roslan juga adalah giat dalam bidang sastera sebagai penulis. Beliau juga merupakan pengarah teater, drama tv dan filem di samping turut menjadi pengacara profesional yang telah mengacarakan beberapa program bertaraf antarabangsa.

Dilantik sebagai Pensyarah Tamu di Universiti Sumatera Utara, Felo Tamu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia serta Munsyi Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Roslan kini terus bergiat aktif dalam lagu rakyat dan dalam industri perfileman. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download