Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 20 OGOS 2021: Penduduk di lebih daripada 100 buah kampung di seluruh daerah di Pahang kini dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih laju, berkualiti dan berkesan.
Ini hasil daripada siapnya pembinaan 26 menara baharu dan 97 stesen pemancar yang dinaiktaraf pada bulan Julai baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini adalah usaha yang dijalankan ini adalah sebahagian daripada inisiatif perluasan dan peningkatan kualiti liputan internet yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Beliau berkata, kesemua infrastruktur Digital Baharu ini akan menyediakan perkhidmatan internet lebih laju melalui rangkaian 4G.
“Projek-projek ini adalah sebahagian daripada projek sasaran yang ditetapkan dibawah pelan JENDELA Negeri Pahang iaitu sebanyak 270 menara baharu akan dibina, 893 stesen pemancar akan dinaik taraf dan 118,260 premis akan dilengkapkan dengan rangkaian gentian optik. Semua inisiatif ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022.
“Pelasanaan JENDELA di Pahang telah mendapat sokongan padu Kerajaan Pahang apabila beberapa dasar baharu telah dilaksanakan Kerajaan Negeri pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail termasuk memperakui komunikasi sebagai utiliti ketiga serta pemakaian Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) sebagai rujukan dalam setiap pembangunan infrastruktur komunikasi melibatkan kawasan-kawasan baharu di negeri Pahang.
“Baru-baru ini MCMC Pahang meneruskan lagi usaha turun ke lapangan bertemu dengan Ahli Dewan Negeri Muadzam Shah, YB Ir. Razali Kassim bersama dengan pemimpin tempatan bagi memperjelaskan usaha-usaha tambah baik liputan telekomunikasi melalui pelaksanaan JENDELA di Muadzam Shah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi DUN Muadzam Shah pula, sebanyak empat menara baharu akan dibina dan 125 stesen pemancar juga akan dinaik taraf serta 4,931 premis sedang dilengkapkan dengan rangkaian gentian optik.
“Projek-projek ini telah pun bermula dan akan siap secara berperingkat pada Suku Keempat 2021. Ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022.
“Kerajaan Pahang bersama MCMC dan pihak terlibat sedang menterjemah perancangan capaian Internet di seluruh negeri ini sebaik mungkin termasuk di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati jaringan komunikasi yang lebih baik,” katanya. – PAHANGMEDIA