Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin ketika pelancaran Program Latihan Reskilling Untuk Industri Pelancongan yang diadakan secara maya di pejabat Tourism Pahang, di Kuantan.

KERAJAAN PAHANG RANGKA SOP BAGI PUSAT PELANCONGAN

Oleh: Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 9 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang sedang merangka ketelitian yang akan dilaksanakan di dalam prosedur operasi standard (SOP) di lokasi-lokasi pelancongan di seluruh negeri ini sebelum sektor terbabit dibuka sepenuhnya menjelang penghujung bulan ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, ini bagi memastikan sektor pelancongan tidak mencetuskan kluster bahari dalam jangkitan COVID-19 yang masih belum reda di seluruh dunia pada ketika ini.
 
Justeru, Kerajaan Pahang menerusi Tourism Pahang masih lagi meneliti SOP yang bakal dilaksanakan oleh semua penggiat pelancongan memandangkan Pahang memiliki banyak lokasi pelancongan terkenal di seluruh dunia.

“Sebab itulah kita kena meneliti lagi dan kita di Negeri Pahang ini walaupun kita ada tempat-tempat yang telah pun mewujudkan ‘herd imunity’ (imuniti kelompok), tetapi kita perlu meneliti lagi daripada segi kemasukan pelancong sebab kita tidak mahu wabak ini akan merebak dan kita tidak mahu ianya bermula di tempat pelancongan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Latihan Reskilling Untuk Industri Pelancongan yang diadakan secara maya di pejabat Tourism Pahang, di Kuantan.
 
Turut hadir ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, YBhg Encik Kamaruddin Ibrahim, Ketua (Strategik Digital dan Inovasi) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Integrated Learning Solution Sdn Bhd – ILSAS, Yang Berusaha Profesor Madya Dr Zaliman Mohd Yusoff dan Pengarah Glocal Tech Solution Sdn Bhd, Encik Munir Kasman Abdul Hamid.
 
Program Latihan Reskilling Untuk Industri Pelancongan anjuran Tourism Pahang dan TNB-ILSAS ini bertujuan memperkasakan pemain industri pelancongan di negeri ini dengan penyuntingan video digital menggunakan ‘drone footage’ dan teknologi realiti maya bagi mempercepatkan pemulihan perniagaan di dalam sektor berkenaan.
 
Menurut YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar, teknik penyuntingan video digital ini merupakan kemahiran yang boleh digunakan di dalam industri pelancongan dengan memberikan pengalaman sebenar kepada pelancong menggunakan teknologi realiti maya ini.
 
Program ini memfokuskan kepada pembangunan sumber manusia dengan memperuntukkan latihan reskilling percuma kepada 100 pekerja dari syarikat berkaitan pelancongan di Pahang di mana sejumlah RM500,000 telah diperuntukkan bagi penyediaan kos latihan teknikal untuk industri pelancongan di Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download