Oleh : Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 9 OGOS 2021 : Kerajaan Negeri Pahang terus menyalurkan sumbangan dan bantuan dan kali ini jubah diberikan kepada golongan imam, bilal dan siak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, sebanyak 545 orang penerima di daerah Bera dengan jumlah sumbangan sebanyak RM45,565.
“Pada hari ini juga saya menyerahkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada sembilan orang penerima dengan jumlah keseluruhan RM4,500.
“Kesemua bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban dan menjadi tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada setiap daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Inisiatif Pemberian Jubah kepada pegawai masjid dan surau serta Bantuan Khas Kewangan kepada sembilan orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) Negeri Pahang secara pandu lalu, hari ini.
Turut sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Dr Zulkifle Ali; Kadi Daerah Bera, Encik Mohd Azizi Abdul Aziz.
Sementara itu, YB. Dato’ Sri Norolazali berkata keprihatinan kerajaan negeri melalui YAB Menteri Besar Pahang tidak pernah berhenti malah sentiasa mencari dan menyenaraikan golongan-golongan yang perlu diberi perhatian.
“Tiada yang tercicir malah semua yang memerlukan kita bantu, saya berharap agar bantuan yang diberi dapat meringankan beban yang ditanggung terutamanya ketika melalui dugaan pandemik ini,” katanya. – PAHANGMEDIA