Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2021.

PERKENAN RAJA PEMERINTAH DALAM PELAKSANAAN PERUNDANGAN PERLU DIHORMATI, BUKAN SEKADAR FORMALITI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 09 OGOS 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah perkenan Raja pemerintah dalam pelaksanaan perundangan perlu dihormati dan bukan dianggap sebagai formaliti sahaja.

Baginda bertitah, kuasa raja pemerintah adalah signifikan dalam mempengaruhi dan mengawal kuasa legislatif malah juga telah diperuntukan dalam cabang legislatif atau perundangan.

“Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan ‘Kuasa perundangan persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen, yang hendaklah terdiri daripada Yang Di-Pertuan Agong, dan dua majlis Parlimen, yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat’.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kuasa pemerintah khususnya dalam cabang legislatif adalah signifikan dalam mempengaruhi dan mengawal kuasa legislatif, sebagai salah satu organ di Parlimen dan Dewan Negeri.

“Hakikat bahawa perkenan Raja Pemerintah perlu dihormati, sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan, tidak boleh dianggap sebagai formaliti atau ceremonial sahaja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2021 yang dijalankan secara maya di Wisma Sri Pahang hari ini.

Persidangan ini turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Datuk Azhar Azizan Harun; dan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad.

KDYMM Pemangku Raja Pahang bertitah, Institusi Diraja hendaklah dipelihara dan dikekalkan sebagai satu kuasa semak dan imbang terakhir.

“Institusi Diraja hendaklah dipelihara dan dikekalkan sebagai satu kuasa semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara setelah institusi lain seperti Parlimen dan mahkamah tidak berjaya.

“Kuasa Raja pemerintah sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tidak wajar dipertikaikan,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download