YAB. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-speaker dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2021 di Wisma Sri Pahang, hari ini yang diadakan secara maya.

MAJLIS PERSIDANGAN SPEAKER PARLIMEN DAN DUN DIHARAP BERI DIMENSI BAHARU PENTADBIRAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 09 OGOS 2021 : Majlis Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seluruh Malaysia Tahun 2021 diharap mampu memberi dimensi baharu pentadbiran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata persidangan ini juga peluang terbaik untuk membahaskan langkah sewajarnya dalam menangani dan mengatasi penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

“Persidangan ini amat bermakna dan bermanfaat kepada Yang Berhormat dan para pegawai yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan perjalanan persidangan bagi merangka, merancang, melaksana dan menambahbaik sistem pengurusan Dewan agar sentiasa efektif, berwibawa dan kekal relevan dengan keperluan negara.

“Kedudukan Majlis Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagai badan legislatif baik di peringkat negeri dan negara. Di sinilah tempat berhimpunnya Ahli-ahli Yang Berhormat dalam berbahas dasar-dasar kerajaan, mengetengahkan permasalahan rakyat agar dapat dirangka solusi yang baik kepada negara.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-speaker dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2021 di Wisma Sri Pahang, hari ini yang diadakan secara maya.

“Saya berharap Yang di-Pertua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan ahli-ahli mesyuarat akan berkongsi ilmu, pandangan yang bernas yang berupaya memberi dimensi baharu dalam menghasilkan pembaharuan pentadbiran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang mampu memberi impak yang terbaik ke arah kemakmuran rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-speaker dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2021 di Wisma Sri Pahang, hari ini yang diadakan secara maya.

Turut berkenan mencemar duli merasmikan majlis ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Datuk Azhar Azizan Harun; dan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad.

Beliau berkata satu bentuk kajian melibatkan ahli akademik perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuhkan peranan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Dalam usaha untuk mempertingkatkan tadbir urus perjalanan persidangan yang sentiasa efektif, satu bentuk kajian perlu diadakan dari semasa ke semasa melibatkan para akademik bagi menghasilkan Peraturan Mesyuarat yang merangkumi dan melengkapi, demi memperkukuh peranan Majlis Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi menerajui pengukuhan demokrasi negara.

“Majlis Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan simbol pelaksanaan sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang kestabilan dan kemakmuran negara.

“Konsep pengasingan kuasa yang diamalkan selama ini antara cabang eksekutif, perundangan (legislative) dan kehakiman (judiciary) membuktikan tiada satu pihak yang mengatasi satu sama lain, bahkan ketiga-tiga cabang saling lengkap-melengkapi dalam membentuk sistem pemerintahan negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, dasar-dasar kerajaan yang terhasil akan mencorakkan pembangunan dan kemakmuran negara untuk diwarisi oleh generasi muda.

Beliau berkata, persidangan kali ini merupakan kali ketiga Pahang menjadi tuan rumah dengan pertama kali pada 1978 dan seterusnya pada 1989.

“Program ini sepatutnya diadakan pada tahun 2018, bagaimanapun atas sebab yang tidak dapat dielakkan antaranya ialah Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun 2018 dan berlakunya pandemik COVID-19, maka program ini tertangguh selama tiga tahun.

“Atas faktor tersebut dan selaras dengan kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, maka program ini diadakan sepenuhnya secara maya. Ini adalah julung kali Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diadakan secara maya, melibatkan sebahagian besar peserta dan para jemputan lain kekal berada di negeri masing-masing,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download