Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 JULAI 2021 : Empat kematian baharu kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini dengan dua daripadanya melibatkan kluster aktif.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 160 kes.

“Kes ke-157 merupakan seorang perempuan berumur 63 tahun dari Kg Jengka Batu 13, Maran.
“Kes ke-158 merupakan seorang lelaki berumur 55 tahun dari Taman Desa Aman, Bera. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
“Kes ke-159 merupakan seorang perempuan berumur 67 tahun dari Felda Tementi, Bera.
“Manakala kes ke-160 merupakan seorang perempuan berumur 55 tahun dari Peramu Maju, Kuantan. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Pasar Kemunting,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 2,179 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan enam Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini manakala 195 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.
“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 28 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 19 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan sembilan (9) kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 18 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 166 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 48 kes merupakan warganegara asing.
“Sebanyak 190 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, dua (2) kes import (1 dari Selangor, 1 dari Kuala Lumpur) dan 22 saringan OKT.
“Terdapat 140 kes diperolehi daripada saringan kluster, 53 saringan kontak rapat, 11 saringan bergejala, tujuh (7) saringan bersasar, satu (1) saringan kendiri, satu (1) saringan pra prosedur dan satu (1) saringan pengembara,” katanya.
Sebanyak 214 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 15,601 kes. -PAHANGMEDIA