LIPIS , 09 JULAI 2021 : Kawasan kebun haram Musang King yang ditebang oleh Kerajaan Pahang dalam Operasi Penguatkuasaan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub telah didefinisikan keluasannya oleh pihak mahkamah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang telah meminta YB. Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri untuk merujuk kembali perkara ini ke Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Kita minta YB. Penasihat Undang-undang (LA) untuk tahu seluas mana kawasan kebun haram Musang King yang terlibat dengan perintah penangguhan oleh mahkamah.
“Dari situ, kita dapat tahu kawasan terlibat hanya 204 orang pekebun sahaja dan mahkamah definasikan ia melibatkan kawasan sekian-sekian sahaja dan selebihnya Kerajaan Negeri boleh ambil balik dan itu yang kita buat sekarang,” katanya.
Beliau berkata laporan terkini yang diterimanya operasi yang dijalankan ini telah menjangkau 70 peratus kemajuan hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang tidak membuat tindakan tergesa-gesa dalam isu penebangan pokok durian Musang King di kebun-kebun haram ini, sebaliknya beliau telah berbincang terlebih dahulu dan mendapatkan pandangan ahli Kerajaan Negeri.
“Setiap keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri, kita bincang dulu dengan semua pihak. Kita bincang dengan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan YB. Penasihat Undang-undang Negeri, YB. Pegawai Kewangan Negeri terlebih dahulu.
“Bukan tiba-tiba saya bangun pagi ini, saya telefon untuk kita kuatkuasa kebun haram Musang King di Raub. Bukan begitu. Lepas kita nak buat, kita ambil tahu dulu, adakah ini (kebun haram) berada dalam kawasan yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.
Menurut beliau, jika ditanya mengapa pihak Kerajaan Negeri mengambil keputusan menebang pokok yang ditanam di kawasan tersebut, ia disebabkan kawasan berkenaan merupakan hutan simpan kekal.
“Kita tebang pokok-pokok itu sebab ia kawasan hutan simpan kekal. Dan itu adalah dasar di mana kawasan hutan simpan kekal tidak boleh ditanam durian.
“Keduanya, kalau ada pokok durian di kawasan hutan simpan kekal ini, ia akan menjadi faktor penarik untuk orang masuk sesuka hati ke dalam kawasan ini sedangkan sesiapa yang nak masuk ke kawasan hutan simpan kekal ini perlu dapatkan kebenaran terlebih dahulu, kalau tidak, ia dikira kesalahan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengambil semula hak Kerajaan Negeri walaupun berdepan banyak halangan.
“Yang mana hak Kerajaan Negeri, kita kena ambil. Yang haram tetap haram walaupun dah 20 tahun, kita tetap akan ambil walau berdepan kesukaran dan halangan, dan kita akan tetap bertegas dalam hal ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada anggota keselamatan yang memberikan kerjasama dalam memastikan operasi ini berjalan lancar. – PAHANGMEDIA