Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 JULAI 2021 : Operasi Penguatkuasaan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub berjalan lancar dengan keseluruhan 16.59 hektar kebun haram telah ditebang setakat ini.
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata ini termasuk 8.94 hektar yang telah ditebang hari ini.

“Perkembangan semasa, sebanyak 20 ekar (8.94 hektar) telah dimusnahkan sehingga 1.20 petang tadi yang menjadikan keseluruhan kebun haram dimusnahkan adalah 41 ekar (16.59 hektar) atau 16.4 peratus daripada keseluruhan kebun haram yang dikenalpasti.
“Kemajuan hari ini adalah yang paling cepat daripada hari-hari lain sejak operasi dijalankan bermula 3 Julai lepas,” katanya.
Beliau berkata pihak JPNP turut menambah anggota penguatkuasaan bagi memastikan kelancaran operasi ini hari ini.
“Kita juga telah menambah anggota di operasi ini kira-kira 100 orang yang dibawa daripada JPNP daerah lain bagi memastikan kelancarannya.
“Selain itu, kita juga dibantu oleh pihak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat kawalan di sekitar kawasan operasi bagi mengelakkan gangguan seperti sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, dengan kemajuan operasi hari ini, pihaknya menjangkakan operasi ini dapat diselesaikan lebih awal iaitu dua minggu lagi.
“Kalau ikut progress hari ini, dan kita dapat maintain atau cepatkan lagi kerja-kerja penebangan ini, mungkin dalam dua minggu lagi dah boleh selesai.
“Memang kita letak tarikh akhir operasi awal bulan depan, tapi kalau tiada gangguan seperti sebelum ini dan cuaca juga baik, tiada masalah dari segi hujan, kita percaya operasi ini dapat selesai lebih awal lagi,” katanya.
Sebelum ini, seramai 18 individu yang disyaki pekebun haram ditahan kerana telah memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam tanpa kebenaran dan membuat provokasi yang melampau termasuk mengadakan halangan kepada anggota Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika menjalankan operasi di kawasan berkeluasan kira-kira 101.17 hektar. -PAHANGMEDIA