Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 JULAI 2021 : Tindakan tegas YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang tidak berkompromi untuk menyelamatkan tanah di negeri ini daripada dicerobohi adalah tindakan yang amat tepat dan berpaksikan kedaulatan undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dalam satu kenyataan berkata tindakan ini bukanlah bersifat dendam mahupun perkauman seperti yang telah digemburkan.

“Tindakan ini bukan hanya akan menyelamatkan tanah Negeri Pahang, namun ia adalah hak Kerajaan Negeri yang harus dikembalikan dan pada masa sama ianya akan mendatangkan manfaat kepada rakyat dan Negeri Pahang itu sendiri dimasa akan datang.
“Setelah lebih 20 tahun mereka ini meneroka secara haram dan telah mengaut keuntungan puluhan juta ringgit, kini tiba masanya Kerajaan Pahang bertindak tegas dalam semua perkara ini dan mengambil semula tanah milik Kerajaan Pahang ini yang akhirnya dapat dikongsi dan diusahakan bersama rakyat Pahang secara lebih adil dan berkesan.
“Tindakan tegas ini dilakukan setelah beberapa kali berbincang termasuk dengan peneroka haram dan telah melalui prosedur mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas YAB Menteri Besar dalam isu penerokaan tanah haram juga bukanlah perkara baharu sejak menjadi Menteri Besar Pahang.
“Kerana itu sejak 3 tahun lalu, YAB Menteri Besar bertindak tegas bukan hanya terhadap penerokaan tanah haram Musang King di Raub ini malah beliau juga telah menyelamatkan tanah Pahang dari kerakusan peneroka haram yang terus menjarah tanah-tanah bukit milik Kerajaan Pahang di Cameron Highlands yang dijadikan kebun sayur.
“Begitu juga beliau bertindak tegas membasmi penerokaan tanah di Kechau, Lipis yang dijadikan perlombongan emas haram. Kini beliau bertindak pantas menyelamatkan tanah di Tasik Chini pula,” katanya.
Beliau turut melahirkan kekecewaan apabila ada pihak yang menghasut rakyat, memburukkan Kerajaan Pahang, serta memainkan sentimen agama dan perkauman dalam isu ini.
“Mereka cuba menjadi hero dan mempopularkan diri mereka serta parti DAP yang mereka tunjangi. Mereka sanggup datang dari Selangor, melanggar SOP dengan merentas negeri dan bersengkongkol dengan peneroka haram yang memasuki dan meneroka Hutan Simpanan Kekal (Pahang) itu tanpa apa-apa lesen dan permit.
“Mereka inilah sebenarnya yang rasis dan menjadi punca masalah perkauman dikalangan masyarakat. Isu bangsa dan agama terus dimainkan lagi oleh mereka.
“Ketika hutan dan air sungai di Cameron Highlands telah pulih dan bersih hari ini kerana tindakan tegas YAB Menteri Besar Pahang adakah mereka puji dan ucapkan terima kasih? Tetapi apabila YAB Menteri Besar memusnahkan kebun haram disitu mereka teriak lagi memainkan isu perkauman termasuk kepada media-media di luar negara,” katanya.
Beliau berkata rakyat Pahang seharusnya bersyukur dan berbangga kerana mempunyai Menteri Besar yang berani dan tegas dab bertindak berpaksikan undang-undang demi kebaikan negeri dan rakyatnya.
“Saya amat yakin bahawa tindakan tegas Kerajaan Pahang ini akan dapat membenteras apa jua aktiviti penerokaan tanah secara haram di Negeri Pahang terutamanya melibatkan kawasan Hutan Simpan Kekal demi manfaat rakyat dan Negeri Pahang itu sendiri. Tiada siapa yang dapat melanggar dan melebihi undang-undang,” katanya. -PAHANGMEDIA