OPERASI HSK BATU TALAM: SEMUA PIHAK PERLU BERLAPANG DADA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 07 JULAI 2021 : Semua pihak perlu berlapang dada dalam isu penguatkuasaan memusnahkan kebun haram durian dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perladangan dan Komiditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, semua pihak perlu mengambil kira segala aspek terutama keuntungan yang telah diperolehi bukan kerugian semata-mata.

“Mahu tidak mahu penguatkuasaan perlu dilakukan kerana ia melihatkan penerokaan haram dan mereka yang terlibat seharusnya berlapang dada.

“Ini kerana, jangan hanya ambil kira soal kerugian yang terpaksa ditanggung ketika ini, tetapi langsung tidak menyentuh keuntungan yang diperolehi selama ini” katanya.

Beliau turut mengambil contoh perkiraan keuntungan yang diperoleh daripada hasil kebun haram yang diusahakan dalam tempoh sepuluh tahun.

“Saya ambil contoh, dalam tempoh 10 tahun mereka beroperasi di kawasan itu, berapa keuntungan mereka perolehi? Berapa hasil diperolehi kerajaan negeri?. Sudah tentulah hasilnya hanya kepada mereka sahaja kerana ia melibatkan penerokaan haram.

“Secara sifir mudahnya di sini, satu ekar kawasan mempunyai kira-kira 35 pokok durian. Satu pokok pula mempunyai 60 biji buah. Setiap biji buah kita anggarkan seberat dua kilogram sebiji.

“Jika setiap pekebun terlibat saya berikan contoh mempunyai kira-kira 101.17 hektar, pendapatan untuk satu musim yang mereka akan mereka perolehi dalam tempoh 10 tahun berkenaan dianggarkan kira-kira RM420 juta satu musim.

“Adakah hasil ini itu diberikan kepada kerajaan negeri? Selama ini mereka telah memperoleh keuntungan yang berlipat kali ganda, jadi berlapang dadalah,” katanya.

Menurut beliau lagi, operasi penguatkuasaan dijalankan setelah mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

“Ketika ini, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) telah digerakkan bagi membuat pengawasan di situ demi memastikan operasi penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan berkeluasan kira-kira 101.17 hektar itu berjalan lancar tanpa gangguan,” katanya.

Sebelum ini, seramai 18 individu yang disyaki pekebun haram ditahan kerana telah memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam tanpa kebenaran dan membuat provokasi yang melampau termasuk mengadakan halangan kepada anggota Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika menjalankan operasi. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download