Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

INISIATIF SEMPADAN HIJAU LIBATKAN KAWASAN SEMPADAN NEGERI PAHANG – KDYMM PEMANGKU RAJA

KUANTAN, 7 JULAI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta Kerajaan Negeri meneliti satu inisiatif Sempadan Hijau Negeri yang mana melibatkan kawasan sempadan Negeri Pahang merangkumi keluasan 54,350 hektar.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, baginda bertitah, kawasan itu adalah sepanjang 1,087 kilometer dan selebar kira-kira 500 meter.

YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal berkata, baginda juga meminta sebahagian besar kawasan ini mestilah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, manakala kawasan yang terlibat dengan tanah milik dibangunkan secara lestari selaras konsep Alam Sekitar – Sosial Tadbir Urus (ESG).

“Baginda bertitah kawasan tersebut perlu menjadi kawasan perlindungan bagi hidupan liar, flora dan fauna sepenuhnya. Baginda mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti pemburuan haram di Negeri Pahang.

“KDYMM Pemangku Raja Pahang juga bertitah Jabatan PERHILITAN perlu menjalankan penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi terus melindungi hidupan liar di Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, baginda juga bertitah kawasan-kawasan strategik bagi hidupan liar, flora dan fauna seperti Taman Negara, Taman Negeri Endau Rompin, Hutan Lipur dan Hutan Rimba, Tasik Chini dan Tasik Bera, Bukit Fraser, Gunung-Ganang, Kawasan Gua, Kawasan Tadahan Air dan Sungai, Kawasan Pantai dan Pulau-Pulau serta kawasan penempatan Orang Asli terus kekal dipelihara.

“Baginda juga meminta Kerajaan Negeri menggiatkan usaha untuk mengenalpasti sumber alternatif selain daripada aktiviti pembalakan dan perlombongan sebagai hasil baharu kepada Kerajaan Negeri.

“Baginda mengalu-alukan semua pihak yang berminat untuk melabur di Negeri Pahang membawa idea-idea baharu yang selari dengan konsep ESG,” katanya,

Katanya lagi, berhubung dengan langkah pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera UNESCO Tasik Chini, Baginda telah mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri serta Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Baginda bertitah agar usaha pemulihan kawasan tersebut dengan penanaman pokok yang bersesuaian perlu disegerakan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download