Antara penduduk di flat tersebut yang terpaksa dibawa ke pusat kuarantin.

PKPD : PENDUDUK FLAT TAMAN BENUS JAYA BENTONG BERI KERJASAMA SEPENUHNYA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 04 JULAI 2021 : Penduduk terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Taman Benus Jaya, Bentong memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim, yang juga Pegawai Daerah Bentong berkata PKPD di lokaliti berkenaan bermula 30 Jun lepas dan akan berakhir 13 Julai depan.

Flat Taman Benus Jaya Bentong yang dikenakan PKPD bermula 30 Jun lepas sehingga 13 Julai depan.

“Setakat ini kesemua kira-kira 650 penduduk di kawasan berkenaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak kami terutamanya dalam mematuhi arahan PKPD dan juga ketika ujian calitan.

“Mereka di lokaliti ini telah tiga kali menjalankan ujian calitan setakat ini dan kesemua penduduk hadir tanpa sebarang masalah ke tempat ujian dijalankan.

“Kita melaksanakan PKPD di flat ini kerana kawasan ini sebahagiannya telah disewa oleh pihak kilang untuk dijadikan penempatan pekerja kilang yang kebanyakkannya adalah bukan warganegara. Hanya kira-kira 20 keluarga sahaja yang terlibat dengan PKPD di sini bukanlah pekerja di kilang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di lokaliti berkenaan sebelum PKPD dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong, YH Dato’ Mohd Zulkifli Hashim menyerahkan bantuan kepada penduduk di Flat Taman Benus Jaya Bentong yang dikenakan PKPD.

“Sebagai langkah awal membendung penularan wabak COVID-19 ini dalam kalangan penduduk, kita telah melaksanakan TEMCO sejak 27 Jun lepas iaitu tiga hari sebelum PKPD dilaksanakan.

“Ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan mereka tidak keluar daripada kawasan ini sebelum PKPD dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini seramai 138 penduduk telah disahkan positif COVID-19 daripada Kluster Industri Benus.

“Ini melibatkan 111 individu bukan warganegara Malaysia dan bakinya 27 lagi adalah warganegara. Daripada jumlah ini 121 adalah pekerja di kilang berkenaan dan sembilan lagi merupakan ahli keluarga mereka.

“Ini merupakan kali ketiga kes jangkitan berlaku di kawasan industri ini, di mana kali pertama berlaku pada bulan Ramadan tahun lepas dan kali kedua adalah selepas hari raya Aidilfitri baru-baru ini,” katanya.

Sekatan jalan raya yang dilakukan di laluan keluar masuk ke Flat Taman Benus Jaya Bentong yang dikenakan PKPD.

Menurut beliau, kluster ini bukanlah berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak kilang tetapi ia berpunca daripada luar kawasan kilang.

“Pihak kilang telah pun mematuhi SOP yang ditetapkan hasil pemeriksaan beberapa kali oleh pihak majlis sebelum ini. Malah keadaan rumah yang disewa kepada pekerja juga mematuhi syarat yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Penularan di lokaliti ini berkemungkinan adalah disebabkan oleh pergaulan para pekerja tersebut selepas pada waktu bekerja sehingga menyebabkan timbulnya kluster ini,” katanya.

Beliau berkata, penduduk di lokaliti ini akan menjalankan satu lagi ujian calitan buat kali keempat bagi memastikan kawasan ini benar-benar bebas daripada wabak ini sebelum PKPD ditamatkan nanti.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri, majikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kerana memberikan bantuan kepada para penduduk. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download