Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 JULAI 2021 : Kira-kira 26,000 penduduk di lima lokaliti terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Temerloh memberikan kerjasama yang sangat baik dalam tempoh pelaksanaan dijalankan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Temerloh yang juga Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin berkata kesemua penduduk ini adalah dari lima lokaliti di Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga, dan Taman Saga Indah.

“Setakat tempoh pelaksanaan PKPD di lima taman perumahan dalam kawasan Mentakab yang bermula 22 Jun lepas sehingga esok, penduduk memberikan kerjasama yang sangat baik kepada pihak berkuasa, boleh dikatakan hampir 100 peratus.
“Kes-kes penularan daripada lima lokaliti ini juga terkawal dengan tiada kenaikan mendadak kes-kes baharu,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata pihak Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Temerloh juga telah mengesan dua kes jangkitan COVID-19 daripada varian baharu yang membimbangkan (VOC) daripada varian Delta B.1.617 setakat ini.

“Walaupun pelaksanaan PKPD di lima lokaliti ini akan tamat esok, tetapi kita memohon semua penduduk dalam kawasan PKPD serta Temerloh amnya untuk sentiasa cakna, mengamalkan SOP dan jangan lalai kerana varian Delta telah pun tersebar di Temerloh,” katanya.
Beliau berkata bantuan turut disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada penduduk terlibat melalui pemimpin setempat selain Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Bantuan banyak dihulurkan kepada penduduk terlibat terutama oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perladangan dan Komiditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudi, dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin, serta pelbagai pihak lain,” katanya.
Beliau berkata pihaknya amat menghargai kesabaran dan kecekalan para penduduk sama ada yang terlibat dengan PKPD mahupun tidak dalam menempuhi saat yang sukar ini. -PAHANGMEDIA