Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 JULAI 2021 : Kluster Rantau Kenanga merupakan jangkitan daripada varian baharu yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta B.1.617 yang pertama kali dikesan di India yang dikenali sebagai Super Strain.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), varian ini sangat cepat merebak dan membawa lebih banyak kematian.

“Kluster Rantau Kenanga ini adalah dari varian Delta. Varian ini dilaporkan 60 peratus sangat cepat merebak dan ia membawa lebih banyak kematian kepada pesakit yang dijangkiti.
“Varian ini di jumpai di India dan menjadi varian dominan di United Kingdom serta beberapa negara lain seperti Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia dan Pakistan.
“Di England, varian ini menyebabkan golongan baru di mana walaupun mereka telah di beri vaksin ada juga yang meninggal setelah dijangkiti COVID-19 daripada varian ini,” katanya.
Beliau berkata dengan selain daripada varian tersebut, terdapat jangkitan daripada varian Beta B.1.351 yang berasal daripada Afrika Selatan dan varian Alpha B.1.1.7 daripada Britain.
“Semua varian ini menyukarkan tindakan lanjut kita, dimana tempoh kuarantin sekarang adalah 14 hari ke 21 hari. Elakkan ke hospital atau klinik untuk menziarahi atau menjaga keluarga kerana ketiga-tiga varian ini mempunyai kebarangkalian yang tinggi terdapat di tempat berkenaan,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 apabila dipanggil pihak kesihatan.
“Selain itu, kita tetap kena jaga 3w dan 3c, jangan keluar rumah jika tidak perlu, dan elakkan perkumpulan walaupun sesama keluarga,” katanya.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan jumlah kes positif COVID-19 berkaitan VOC setakat 30 Jun lepas, Pahang merekodkan empat kes iaitu dua daripada varian Beta dan dia daripada varian Delta denga kesemua kes merupakan warganegara, dan Kluster Rantau Kenanga setakat semalam, merekodkan 434 kes positif COVID-19. -PAHANGMEDIA