Sebanyak tiga laporan polis dibuat oleh UMNO Bahagian Pekan dan wakil masyarakat Orang Asli berhubung dakwaan menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatiuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.

TIGA LAPORAN POLIS DIBUAT HINA KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 3 JULAI 2021: Sebanyak tiga laporan polis dibuat oleh UMNO Bahagian Pekan dan wakil masyarakat Orang Asli berhubung dakwaan menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatiuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.

Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, semalam.

Ketua Pemuda UMNO Pekan, YH Dato’ Mohd Nizar Najib berkata, tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab yang menghina KDYMM Tuanku.

Beliau berkata, KDYMM Pemangku Raja Pahang sememangnya seorang yang rendah diri dan sering turun padang bertemu serta membantu rakyat.

“Malah Baginda juga menyumbangkan Elaun Diraja selama empat bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Justeru kepada semua pihak, terutamanya golongan remaja, dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melayari media sosial kerana kita semua tertakluk kepada peraturan atau undang-undang.

“Lihat, kaji dan bacalah usaha dan kebaikan yang pernah dilakukan orang lain yang kita sendiri tidak melakukannya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli Kampung Permatang Siput, Encik Midun Tan berkata, tindakan biadab sebegini harus dihentikan serta-merta agar tidak terus meracuni dan mempengaruhi pola pemikiran generasi muda hari ini.

Katanya, anak muda perlu sedar bahawa tindakan ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan oleh sesiapa pun di negara ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download