Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 25 JUN 2021: “Usaha pemulihan (Tasik Chini) ini kita telah mula sejak 2019 lagi, bukan baru ini sahaja. Kerana disalah tafsirkan kononnya bila digembar-gemburkan baharu Kerajaan Negeri masuk, itu tidak (benar),” itu kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Beliau berkata, ini adalah bukti nyata apabila beliau sendiri bercakap di Dewan Negeri untuk mewartakan Tasik Chini dan turut menyediakan sejumlah peruntukan untuk membaik pulih kawasan yang terlibat.

“Kali ini Kerajaan Pahang sangat serius untuk pulihkan kembali kawasan ini dan saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, NGO, agensi kerajaan, pemimpin setempat kerana membantu Kerajaan Negeri untuk sama-sama memulihkan keadaan di Tasik Chini.
“Saya tegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri sangat komited dan kita akan beri keutamaan untuk memulihkan Tasik Chini seperti mana yang kita telah buat sebelum ini.
“Justeru untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM1 juta daripada Kumpulan Wang Pemulihan Lombong Pahang untuk digunakan bagi pemulihan kawasan bekas lombong di tasik ini,” katanya ketika ditemui media selepas melawat dan meninjau usaha pemulihan kawasan lombong di Tasik Chini di sini hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Dalam lawatan itu beliau turut meninjau dan menilai usaha pemulihan kawasan bekas lombong yang telah ditanam dengan pelbagai spesies buluh, tanaman tutup bumi dan spesies komersial bernilai tinggi yang sesuai iaitu pokok Merawan Siput Jantan serta pokok Meranti Temak Nipis.
Sehubungan itu, beliau berkata, dianggarkan kira-kira RM20 juta diperlukan bagi usaha pemulihan Tasik Chini, melibatkan kawasan kira-kira 600 hektar.
“Saya sendiri akan menulis surat kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk memberi sedikit bantuan kepada pihak Kerajaan Negeri dalam usaha memulihkan Tasik Chini ini.
“Selain itu yang terkini adalah kita akan mempergiatkan serta mempercepatkan lagi kawasan-kawasan yang teruk terjejas. Kita juga akan mempercepatkan lagi tanaman spesies pokok seperti tanaman tutup bumi pokok Merawan Siput Jantan serta pokok Meranti Temak Nipis,” jelasnya. – PAHANGMEDIA