YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melawat dan meninjau usaha pemulihan kawasan lombong di Tasik Chini hari ini.

TASIK CHINI: KERAJAAN PAHANG CADANG WUJUD PERBADANAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 25 JUN 2021: Kerajaan Pahang bercadang untuk mewujudkan satu perbadanan biodiversiti yang akan melibatkan banyak kawasan di seluruh negeri ini termasuk Tasik Chini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang telah membuat perbincangan lanjut mengenai perkara ini.

Jelasnya lagi, perbadanan ini adalah bagi memudahkan untuk pihak Kerajaan Pahang memantau dan mendapat bantuan serta sumbangan secara bersepadu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melawat dan meninjau usaha pemulihan kawasan lombong di Tasik Chini hari ini.

“Sebagai contoh di Sungai Ichat, Cameron Highlands yang mana kita hadapi pelbagai tentangan, dugaan serta cabaran dan Alhamdulillah kita berjaya.

“Dengan wujudnya Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands banyak yang telah berubah dan keadaan di sana bertambah baik.

“Justeru Kerajaan Negeri telah berbincang dan kita mungkin akan buat majlis ataupun perbadanan biodiversiti bukan sahaja di Tasik Chini tetapi melibatkan Bera dan kawasan-kawasan lain,” katanya ketika ditemui media selepas melawat dan meninjau usaha pemulihan kawasan lombong di Tasik Chini di sini hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Dalam lawatan itu beliau turut meninjau dan menilai usaha pemulihan kawasan bekas lombong yang telah ditanam dengan pelbagai spesies buluh, tanaman tutup bumi dan spesies komersial bernilai tinggi yang sesuai iaitu pokok Merawan Siput Jantan serta pokok Meranti Temak Nipis.

Sementara itu, beliau berkata, sejak pertengahan Jun 2021, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menggerakkan usaha pemulihan melibatkan pelbagai kawasan secara berperingkat dengan peruntukan awalan daripada Kumpulan Wang Pembangunan Hutan.

“Sehubungan itu, JPNP akan mengeluarkan sejumlah peruntukan bagi membina tapak semaian untuk digunakan oleh masyarakat Orang Asli bagi menghasilkan stok tanaman untuk usaha pemulihan ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menanam pokok di kawasan bekas lombong di Tasik Chini di Pekan hari ini.

“Penyertaan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) selain pelbagai lapisan masyarakat juga digalakkan dalam usaha penghutanan semula kawasan lombong Tasik Chini,” katanya.

Beliau berkata, ini selaras dengan Kempen 1 Pokok, 1 Rakyat Negeri Pahang yang menyasarkan penanaman lima juta pokok pada tahun 2021 ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download