KUANTAN, 22 JUN 2021: Seramai 62 orang guru menerima sumbangan RM3,000 seorang bagi membiayai yuran pengajian selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM186,000.
Majlis penyampaian sumbangan berkenaan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang diadakan secara maya hari ini.
Yayasan Pahang dalam satu kenyataan berkata, kesemua guru ini adalah lantikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di bawah tajaan Amanah Saham Pahang (ASPA) dan sedang berkhidmat di Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di seluruh Negeri Pahang dengan honorarium bulanan yang diterima berjumlah RM1,500 seorang.
“Sumbangan penajaan ini adalah manifestasi Yayasan Pahang dalam merealisasikan usaha memartabatkan masyarakat melalui capaian pendidikan.
“Penajaan ini bertujuan memberi semangat dan galakan kepada guru-guru berkenaan agar dapat menuntut ilmu dengan cemerlang seterusnya memberi manfaat mendidik pelajar anak Pahang hingga berjaya,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, selain sumbangan ini, Yayasan Pahang juga telah membelanjakan sebanyak RM310,000 sejak tahun 2020 hingga 2021 bagi pembayaran elaun 22 orang guru tasmik kelas aliran tahfiz di SMAN yang dikendalikan oleh JAIP.
“Peruntukan tersebut adalah bagi membiayai insentif sebanyak RM1,000 sebulan. Yayasan Pahang juga turut bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan JAIP bagi memastikan faedah yang diberikan dimanfaatkan secara optimum oleh penerima sumbangan.
“Semoga usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban guru-guru agama Negeri Pahang seterusnya menyuntik semangat dan memberi impak terhadap pendidikan Islam di Negeri Pahang secara keseluruhannya,” jelasnya.
Majlis pada hari ini juga turut meraikan kejayaan empat orang calon Orang Asli yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dan 8A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020.
Mereka menerima hadiah saguhati dari Yayasan Pahang berupa wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang. – PAHANGMEDIA