Seorang masyarakat Orang Asli sedang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera (MDB) di Bera hari ini.

“ORANG KAMPUNG TUNGGU DI RUMAH NAK LIHAT KESAN SELEPAS TERIMA SUNTIKAN VAKSIN”- TOK BATIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 21 JUN 2021 : “Ada orang kampung yang tunggu saya di rumah sejak dari pagi tadi lagi nak tengok macam mana (keadaaan kesihatan) lepas saya cucuk,” kata Tok Batin Kampung Genderek yang menjadi individu pertama daripada kampungnya yang menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini.

Encik Tosi Ayin, 60, berkata ini berikutan masih ramai penduduk di kampungnya yang terdiri daripada 40 keluarga yang takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 ini.

Encik Tosi Ayin, 60

“Ini balik nanti, saya nak tunjuk kepada mereka yang saya sihat saja macam mereka tengok saya pergi pagi tadi. Tak ada apa kesan pun.

“Saya nak beritahu mereka yang mereka tak payah takut pun nak cucuk (vaksin COVID-19) ini, tak ada rasa apa-apa macam yang orang cakap-cakap,” katanya ketika ditemui selepas mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera (MDB) di sini hari ini.

Beliau berharap suntikan yang diterimanya ini dapat meyakinkan penduduk kampungnya bahawa suntikan vaksin COVID-19 ini tidak berbahaya seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Encik Olleh Din, 59, daripada Kampung Gemuruh berkata dia mengambil keputusan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 ini kerana didorong oleh anak-anaknya.

“Anak-anak dan menantu dah ambil suntikan vaksin ini. Mereka ada cerita yang vaksin ini tak rasa apa-apa pun. Jadi saya terus daftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebelum mereka (JAKOA) telefon semalam untuk beritahu saya kena ke sini (Dewan Konvensyen MDB) untuk cucuk.

“Awal-awal tadi ada rasa takut juga, rasa menggeletar juga bila dah sampai giliran nak kena suntik tapi bila dah suntik tak ada benda pun. Nak suntik sepuluh kali pun boleh,” katanya yang merupakan Orang Asli suku kaum Semelai.

Mereka merupakan antara 20 Tok Batin dan masyarakat Orang Asli suku kaum Semelai daripada 490 penerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac di sini, hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download