Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LIPIS, 17 JUN 2021 : Seramai 2,853 penduduk di perkampungan Orang Asli Pos Betau di kawasan Dewan Negeri Jelai, di sini, menyambut baik Program Outreach Orang Asli Pinggiran Fasa 2 Daerah Lipis yang digerakkan sejak Rabu hingga esok.
Penyelaras Program Outreach Orang Asli Pinggiran Pos Betau, Dr Hafizu Nazrin Wan Mohamad Lotfi berkata, sejak program dijalankan bermula semalam, ramai di kalangan penduduk yang hadir ketika program masuk ke kampung-kampung mereka tetapi hanya 400 dos vaksin sahaja dapat diberikan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Betau.
“Memang sambutan lagi ramai daripada jumlah vaksin yang kita dapat begitu juga hari ini kita pergi ke empat tempat dan ini merupakan kampung yang terakhir dan memang orang yang datang lagi ramai daripada vaksin yang kita dapat.

“Yang layak menerima hampir 3,000 di RPS Betau sahaja dan untuk tiga hari ini kita baru mendapat 400 dos, InsyaAllah program ini akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Outreach Orang Asli Pinggiran Fasa 2 di Tabika Kemas Kampung Pinang dan Kampung Tiat, Pos Betau, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Muhammad Olian Abdullah.
Program Outreach Orang Asli Pinggiran Fasa 2 Daerah Ljpis melibatkan 7,585 Orang Asli yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 daripada 15 kampung dan penempatan Orang Asli antaranya Betau, Sinderut, Lenjang, Pantos, Temetong dan Kampung Dusun Pak Senam.
Antara agensi terlibat adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, pasukan RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat.
Sementara itu, beberapa penerima vaksin COVID-19 turut melahirkan rasa gembira dan lega setelah menerima suntikan bagi mewujudkan imunisasi kelompok sekali gus dapat menghentikan pandemik itu.

Seorang penduduk Kampung Tiat, Encik Sufardi Agus Azlan, 42, menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan yang berusaha memastikan masyarakat Orang Asli turut menerima suntikan vaksin COVID-19 meskipun terpaksa meredah ke perkampungan mereka yang terletak di kawasan pedalaman.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana bersusah payah memberi vaksin kepada penduduk seperti kami di kawasan pedalaman, jadi kita tidak perlu keluar hanya tunggu sahaja di kampung, pihak KKM datang untuk memberi suntikan vaksin,” katanya.
Seorang lagi penduduk Kampung Pinang, Puan Dawi Saari, 31, juga mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan melaksanakan program pemvaksinan di kalangan masyarakat Orang Asli.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana bagi vaksin COVID-19 kepada Orang Asli walaupun lokasi kami jauh di kawasan pedalaman,” katanya. – PAHANGMEDIA